My Add

Friday 19 July 2013

Sokong langkah kerajaan tingkatkan kualiti guru - Dr. Sidek Baba

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Pengumuman Kementerian Pendidikan baru-baru ini untuk meningkatkan kualiti guru di Malaysia adalah satu langkah yang berpandangan jauh ke hadapan.

Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba berkata, langkah itu adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang serba boleh pada masa depan.

"Cadangan Kementerian Pendidikan untuk memberi keutamaan kepada calon guru yang berkualiti adalah satu langkah yang baik dan perlu disokong semua pihak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pada 8 Julai lalu bahawa kementerian itu mengenakan syarat baharu iaitu hanya pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak memohon jurusan perguruan berkuat kuasa tahun ini.

Namun, kelonggaran diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang hanya disyaratkan memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM memandangkan terdapat jurang pencapaian akademik antara negeri itu dengan Semenanjung.

Langkah berkenaan adalah sebahagian perancangan kementerian untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus pelajar cemerlang di seluruh negara menceburi profesion perguruan sekali gus meningkatkan lagi kualiti golongan pendidik.

Menurut Sidek, pengalaman beliau menunjukkan terdapat kaitan yang rapat antara kualiti kelulusan dengan kualiti kerja dan ini bermakna individu cemerlang dalam SPM dan seterusnya di peringkat pengajian tinggi akan menjadi guru yang baik.

"Sekiranya individu yang berkelulusan cemerlang ini diberikan latihan yang cukup terutama diberikan pendidikan secara holistik mereka boleh menjadi guru yang berkualiti.

"Antara ciri-ciri baik yang terdapat pada guru berkualiti adalah rajin membaca, berfikir dan sentiasa berusaha meningkatkan lagi kelulusan akademik mereka.

"Guru berkualiti juga sentiasa melihat pelajarnya seperti anak-anaknya sendiri dan ikhlas dalam melakukan kerja pendidikan," ujarnya.

Selain memberi penekanan supaya tenaga pendidik di Malaysia berwibawa dari sudut kelulusan akademik, katanya, kementerian juga harus memastikan mereka mempunyai ilmu pengetahuan tambahan yang luas dan berpengalaman dalam kerja-kerja lapangan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment