My Add

Thursday 18 July 2013

Stor simpanan diesel subsidi diserbu

Oleh ANI AWANG

BUTTERWORTH, RABU, 17 Julai, 2013: Polis merampas sejumlah 25,000 liter minyak diesel subsidi bernilai RM50,000 selepas menyerbu sebuah stor di Jalan Bagan Jermal di sini malam tadi.

Dalam serbuan pukul 10 malam itu, selain merampas diesel, polis turut merampas sebuah lori tangki dan sebuah lori yang diubah suai untuk mengisi diesel serta pelbagai peralatan bernilai lebih RM200,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat sindiket membeli minyak diesel subsidi untuk dijual kepada industri menjadikan stor di situ untuk menyimpan bekalan sejak setahun lalu.

"Semasa serbuan dilakukan terdapat empat lelaki yang dipercayai anggota sindiket sedang memindahkan minyak diesel dari lori ke tong khas yang terdapat di stor itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Roslee berkata, empat lelaki berusia 30 hingga 45 tahun cuba melarikan diri tetapi gagal kerana polis telah mengepung kawasan stor itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket tersebut membeli minyak diesel dengan kuantiti yang banyak sebelum menyimpan di stor dan menjual kepada industri dengan harga lebih murah berbanding harga industri bagi mengaut keuntungan.

Katanya, selain menjual minyak subsidi kepada industri sindiket itu dipercayai memproses dan menggunakan kad kredit palsu untuk membeli diesel.

"Polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk menghasilkan kad kredit palsu dan kita sedang menyiasat untuk mengesan dalang sindiket itu," katanya.

Beliau berkata, kes ini dirujuk kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri kerana memiliki diesel subsidi melebihi jumlah yang dibenarkan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment