My Add

Tuesday 16 July 2013

Suami isteri ditahan bersama 654 gram heroin

KUANTAN, SELASA, 16 Julai, 2013: Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dan isterinya dalam serbuan di hadapan sebuah restoran di Cherating dekat sini awal pagi semalam.

Pasangan itu ditahan dalam pemeriksaan pada pukul 2.45 pagi ketika berada di dalam sebuah kereta Proton Saga bersama tiga anak mereka berusia antara empat dan enam tahun.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Deputi Supritendan Zaini Talib berkata, polis menemui satu beg plastik yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 654 gram yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

"Dadah jenis heroin yang dipercayai dibawa masuk dari Selangor itu bernilai RM39,240 dan ia dipercayai untuk diedar kepada penagih di sekitar bandar Kuantan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas kereta milik suspek yang ketika kejadian dipandu isterinya berusia 29 tahun manakala suspek, 33, duduk di tempat penumpang hadapan.

"Kami masih menyiasat sama ada isteri suspek terlibat atau tidak dalam akitiviti pengedaran dadah ini manakala tiga anaknya yang berusia antara empat dan enam tahun itu telah diserah kepada ahli keluarga mereka.

"Kami juga percaya suspek dari Kajang, Selangor kononnya membawa isteri dan anaknya bercuti ke Cherating bagi mengaburi mata pihak polis daripada mengesan aktivitinya," katanya.

Zaini berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai buruh itu mempunyai rekod lampau manakala isterinya bekerja di sebuah syarikat komunikasi di Selangor dan tiada rekod jenayah.

Pasangan itu kini direman sehingga 21 Julai untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori, katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment