My Add

Thursday 18 July 2013

Tak ikut spesifikasi punca Stadium Sultan Mizan runtuh

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Penggunaan bahan binaan dan kualiti kerja tidak mengikut spesifikasi dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu adalah antara punca menyebabkan keruntuhan struktur bumbung stadium itu pada 2009, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, jawatankuasa penyiasatan kementerian itu juga mendapati faktor lain adalah reka bentuk bumbung yang tidak memadai serta pengawasan dan kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak projek.

"Kementerian ini difahamkan bahawa kerajaan negeri Terengganu sedang mengumpulkan bukti untuk memfailkan saman awam kepada pihak yang terlibat dengan kecuaian pembinaan projek ini," katanya ketika menjawab pertanyaan Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah (Pas-Kuala Terengganu) yang ingin tahu hasil siasatan kementerian berkenaan isu itu.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.9 juta telah siap dibina pada Mei 2008, namun pada 2 Jun 2009, sebahagian bumbung utamanya runtuh dan terpaksa ditutup untuk kerja pembersihan serta baik pulih. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment