My Add

Wednesday 24 July 2013

Tambah dana perkasa seni budaya negara - Nazri

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bercadang menambah peruntukan dana bagi memperkasakan lagi institusi seni dan budaya di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kajian terperinci akan dibuat bersama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) untuk mendapatkan jumlah peruntukan yang diperlukan.

Katanya, selepas mendapat jumlah yang diperlukan, cadangan tersebut akan disuarakan ke Parlimen dalam masa terdekat.

Jelasnya, dana tersebut akan digunakan bagi membeli karya seni oleh anak tempatan untuk dijadikan sebahagian daripada pameran.

"Rugilah jika mempersiakan hasil-hasil seni anak tempatan yang menjadi rebutan pelbagai pihak dan dibeli oleh negara luar," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja dan Majlis Berbuka Puasa LPSVN di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara, Haned Masjak; Pengerusi LPSVN, Datuk Rozali Isohak dan Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Datuk Ab. Ghafar A.Tambi.

Menurut Mohamed Nazri, Jawatankuasa Pembangunan Seni LPSVN turut diminta untuk memberi refleksi tentang pencapaian serta kekangan sebenar yang wujud bagi memantapkan daya tadbir dan pemikiran strategik bagi memacu legasi seni negara.

"Kerjasama erat antara agensi juga merupakan tunjang utama kepada pencapaian cemerlang kerajaan yang menuntut kepantasan bekerja, komitmen serta keterbukaan minda dan sikap dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung desas-desus untuk jawatan tertinggi dalam UMNO, beliau langsung tidak menyuarakan minat untuk bertanding.

"Saya hanya berminat untuk bertanding dalam pilihan raya umum sahaja dan bukan pilihan raya UMNO," jelasnya.

Beliau turut menyatakan hanya akan bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Padang Rengas. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment