My Add

Wednesday 24 July 2013

Tapak projek 'mengerikan'

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Keadaan di tapak pembinaan di negara ini boleh diklasifikasikan sebagai 'menggerunkan' berikutan pihak pemaju dan kontraktor mengambil mudah aspek keselamatan sehingga mengundang risiko kemalangan kepada pekerja dan orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

Aspek keselamatan asas seperti memasang jaring perlindungan bangunan, pemakaian alat sokongan termasuk tali keselamatan sewaktu pekerja melakukan kerja menampal plaster di kedudukan tinggi dan memakai topi keselamatan diabaikan oleh kontraktor menyebabkan risiko kecederaan semakin meningkat.

Bukan itu sahaja, kemudahan seperti jambatan yang menjadi penyambung kepada laluan orang ramai turut dirosakkan oleh jentera projek pembinaan seperti jentolak dan lori besar yang turut menggunakan laluan sama.

Tinjauan Utusan Malaysia di tiga projek pembinaan sekitar ibu kota iaitu di Setapak dan Ampang bersama wakil Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyaksikan kontraktor gagal menjamin keselamatan bukan sahaja masyarakat sekeliling, malah pekerja mereka sendiri.

Sebuah tapak pembinaan bangunan di Jalan Tun Razak didapati gagal memastikan pekerja memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) termasuk topi, kasut dan jaket keselamatan.

Pekerja yang melakukan kerja menampal plaster di tebing bangunan dari kedudukan tinggi juga tidak menggunakan tali penyokong yang berfungsi untuk mengelakkan mereka daripada terjatuh.

Bahaya lain yang turut dikesan ialah struktur sokongan binaan yang dijadikan laluan oleh pekerja untuk melakukan kerja di tingkat atas projek berkenaan telah rosak dan berlubang sehingga mendatangkan risiko kepada nyawa pekerja.

Dikhuatiri, barang pertukangan pekerja akan jatuh dan menimpa orang awam dan pekerja yang lalu-lalang di bawah.

Jaring perlindungan yang juga bertujuan mengelakkan alatan pertukangan daripada jatuh turut tidak dipasang kontraktor projek berkenaan sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan pekerja yang berada di bawah.

Bahan kimia berbahaya juga dilihat dibiar terdedah serta tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya sehingga boleh mengundang risiko kepada pekerja lain yang melalui kawasan tersebut.

Tinjauan di tapak pembinaan laluan bertingkat di Kampung Puah, Setapak pula mendapati jambatan yang menjadi laluan alternatif penduduk sekitar sejak 20 tahun lalu dirosakkan jentera pembinaan projek berdekatan.

Setiap masa, jentolak dan lori besar akan melalui jambatan yang dibina bagi menampung hanya kenderaan ringan sehingga menyebabkan struktur asas jambatan itu berisiko untuk runtuh ke dalam sungai.

Batu di tebing sungai yang menjadi asas kepada kestabilan jambatan itu dilihat sedikit beralih dari kedudukan asal.

Orang ramai serta kenderaan yang lalu-lalang juga terdedah dengan pelbagai halangan termasuk besi cerucuk dan batu-bata yang bertaburan di tengah-tengah laluan tersebut.

Permukaan jambatan tersebut bukan sahaja berlubang-lubang serta besi pelantarnya tidak diselenggara dengan baik, malah kontraktor hanya meletakkan lapisan tanah di atas pelantar besi jambatan itu bagi meratakan permukaannya.

Tindakan itu hanya mengakibatkan orang ramai keliru dengan keadaan sebenar jambatan terbabit terutama dalam menentukan sama ada selamat atau sebaliknya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment