My Add

Wednesday 10 July 2013

Tembaga TNB RM180 juta dicuri tempoh 10 tahun

KUANTAN, SELASA, 09 Julai, 2013: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian lebih RM180 juta bagi tempoh 10 tahun lepas akibat kes kecurian di pencawang-pencawangnya di seluruh negara.

Menurut Pengurus Bahagian Penghantaran TNB Pahang, Ir. Abdul Halim Baharuddin, antara yang dicuri berupa barang-barang tembaga seperti kabel dan sebagainya.

"Berdasarkan statistik, kejadian kecurian itu berlaku peningkatan tiga peratus dari tahun ke tahun.

"Kami memerlukan kerjasama semua pihak supaya dapat memberi maklum balas mengenai kejadian kecurian itu supaya kami boleh cepat bertindak.

"Ini kerana terdapat pencawang dan menara yang terletak di dalam ladang yang terletak begitu jauh daripada pusat pemantau kami jadi kami bergantung sebahagiannya atas maklumat orang ramai," katanya hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis gotong royong Sekolah Agama Rakyat Kompleks Polis Alor Akar, dekat sini yang dirasmikan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani.

Abdul Halim berkata, di Pahang sahaja, lebih 200 pencawang TNB terbabit dalam kes kecurian bernilai lebih RM300,000 sejak 2012.

Beliau berkata, TNB juga sedang giat menjalankan projek pengukuhan sistem penghantaran bekalan elektrik di seluruh negara dengan melibatkan kos melebihi RM1.2 bilion.

Projek itu turut membabitkan penggantian peralatan lama yang telah digunakan sejak 20 tahun lepas.

Katanya, di Pahang, lebih RM300 juta diperuntukkan untuk tujuan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment