My Add

Wednesday 24 July 2013

Tender bawah harga pasaran

Oleh FAIRUS KASSIM

 * PENGERUSI Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam (tiga dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Ahmad Husni Hanadzlah sambil diperhatikan pengurusan kanan ASLI dan wakil penaja Persidangan Perbankan Malaysia Ke-17 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD NOR
KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Sebanyak 85 peratus daripada tender yang dikeluarkan kerajaan telah berjaya direkodkan di bawah paras harga pasaran, hasil penambahbaikan perbelanjaan yang telah dilaksanakan tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, perlaksanaan berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawan kepada empat peratus tahun ini.

Menurutnya, defisit membabitkan imbangan antara perbelanjaan dan perolehan kerajaan, oleh itu kedua-dua aspek itu perlu ditambah baik tanpa perlu membuat pemotongan perbelanjaan dalam mana-mana sektor.

"Hanya perbelanjaan berkualiti diutamakan, selain mengetengahkan pengurusan yang lebih baik. Tender dilaksanakan secara terbuka dan hasilnya 85 peratus projek berjaya dicapai di bawah harga sebenar.

"Dari segi perolehan, kerajaan dari semasa ke semasa akan terus meningkatkannya. Kerajaan tidak ada masalah untuk mencapai sasaran defisit empat peratus tahun ini dan 3.5 peratus tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di Persidangan Perbankan Malaysia ke-17 di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam usaha mengurang defisit, kerajaan juga perlu melihat kepada keperluan perbelanjaan baharu, aku janji pilihan raya dan perbelanjaan pembangunan.

"Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi merupakan cara meningkatkan perolehan.

"GST memerlukan setahun untuk dilaksanakan dan jika diumumkan, paling awal pada 2015 baru boleh dilaksanakan.

"Yang paling cepat adalah rasionalisasi subsidi tetapi kerajaan perlu berhati-hati untuk mengelakkan harga barangan meningkat kepada paras yang boleh menjejaskan rakyat," jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beliau berkata, negara mampu mencapai kasar lima peratus jika tidak berlaku sebarang perkara luar biasa dalam ekonomi dunia.

"Suku pertama agak perlahan disebabkan eksport yang jatuh agak teruk tetapi ini masih awal kerana pelaburan swasta dan kerajaan belum dioptimumkan sepenuhnya.

"Tiga elemen iaitu pelaburan swasta, perbelanjaan swasta dan perbelanjaan kerajaan menjadi faktor penting kepada suku-suku seterusnya," katanya.

Tambah beliau, negara memiliki ekonomi domestik yang kukuh untuk mengimbangi kejatuhan eksport. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment