My Add

Thursday 11 July 2013

Tengku Zaihan pilihan tepat

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF
 
 Anuar Abd. Manap, Mohamed Maliki

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Pengumuman calon muda, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dalam pilihan raya kecil kawasan itu, 24 Julai ini disifatkan sebagai pilihan yang tepat.

Malah, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abd. Manap berkata, pemilihan itu memperlihatkan komitmen berterusan BN dalam membawa transformasi politik tidak hanya bersandarkan kepada pengalaman tetapi mengambil kira kelayakan akademik, kemampuan memberi perkhidmatan yang baik, penerimaan masyarakat setempat serta kebolehpercayaan.

“Pemilihan calon-calon muda adalah sebagai bukti sifat keterbukaan yang diamalkan oleh BN di samping menjadikan parti itu lebih kuat dan bertenaga.

“Saya berharap beliau dapat bekerja dengan proaktif untuk membawa Kuala Besut ke satu tahap yang lebih baik dengan menggunakan kekuatan fizikalnya sebagai orang muda dan akal fikirannya sebagai seorang jurutera," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Tengku Zaihan, bekas jurutera awam di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai calon kerusi DUN Kuala Besut.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar (BN) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu akibat komplikasi paru-paru berair.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, usia muda bukan kriteria utama, namun perkara tersebut menjadi pelengkap selepas aspek lain seperti memiliki latar belakang yang memenuhi kehendak masyarakat setempat dikenal pasti pada diri seseorang calon tersebut.

Menurut beliau, dengan pakej yang dimiliki Tengku Zaihan, ditambah dengan usaha keras sepanjang tempoh pilihan raya kecil, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu diyakini dapat mempertahankan kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti 2,434 undi.

“Kami mengalu-alukan pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon orang muda di DUN Kuala Besut. Kami berharap beliau dapat menonjolkan kriteria-kriteria yang harus dimiliki oleh seseorang wakil rakyat pada masa kini," - UTUSAN

No comments:

Post a Comment