My Add

Sunday 28 July 2013

Ternakan ikan sturgeon bernilai RM120 juta di Pahang

 * MOHD. Isa Abdul Samad (kanan) beramah mesra dengan peneroka selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk dekat Felda Bukit Rokan Barat, Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin.
JEMPOL, SABTU, 27 Julai, 2013: Usahasama Felda dan sebuah syarikat Korea Selatan, MMC Hassed Co. Ltd untuk membangunkan ladang ternakan ikan sturgeon (beluga) bernilai RM120 juta di Pahang dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan buat warga Felda di kawasan tersebut.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, projek itu yang akan dijalankan dekat Jerantut dan Jengka di Pahang mampu memberi peluang pekerjaan kepada generasi muda di tanah rancangan Felda.

"Berdasarkan kajian yang dijalankan, kita mendapati lokasi tersebut berpotensi untuk projek ternakan ikan sturgeon dan dijangka memberi kesan limpahan ekonomi kepada 1,300 warga Felda di kawasan tersebut.

"Kajian awal mendapati tanah dan air di kawasan itu sangat sesuai untuk projek tersebut. Pemilihan lokasi amat penting bagi memastikan projek ini dapat berjalan lancar dan kita yakin ia merupakan satu projek yang boleh mendatangkan keuntungan besar," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata demikian selepas majlis berbuka puasa bersama peneroka Felda Bukit Rokan Barat, di sini semalam.

Katanya, sekiranya tiada sebarang masalah projek berkonsepkan kompleks ternakan ikan akan dijalankan pada 2014 dan dijangka siap dalam tempoh 18 hingga 24 bulan melibatkan kawasan seluas lapan hektar.

"Kompleks itu bakal dilengkapi kawasan pameran, akuarium dan pusat penyelidikan. Dengan projek lengkap kita harap ia bukan sekadar dapat membuka peluang perniagaan, malah menarik kedatangan pelancong.

"Projek ini juga bakal memberi ilmu baharu kepada warga Felda dalam bidang tersebut. Saya harap apabila siap warga Felda di kawasan tersebut dapat bersama kami untuk menjayakan projek ini," katanya.

Mohd. Isa menjelaskan, sturgeon merupakan sejenis ikan besar dari spesies Acipenseridae iaitu telurnya akan dijadikan kaviar dan dimakan sebagai hidangan istimewa dengan harga yang mahal di pelbagai restoran utama dunia.

"Dengan harga pasaran kaviar yang kini dianggarkan antara RM9,000 sehingga RM15,000 sekilogram, warga Felda yang terlibat dalam projek tersebut mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.

"Bagi memastikan projek ini berjalan lancar, kita akan wujudkan satu unit baharu di bawah Felda untuk menguruskan projek tersebut," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment