My Add

Thursday 18 July 2013

Tetap ambil alih tanah dalam SJKC Chin Woo

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak akan tunduk kepada desakan MCA sebaliknya akan meneruskan pengambilalihan tanah milik kerajaan dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo di sini, bagi membina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pengambilalihan itu akan diteruskan dalam masa terdekat selari dengan keputusan kerajaan mewartakan tanah tersebut untuk tujuan kebudayaan dan warisan.

Dalam masa sama, katanya, kementerian sedang mempersiapkan pasukan peguam untuk menghadapi kemungkinan menyelesaikan isu tersebut di mahkamah.

"Tanah ini (diwartakan) untuk kebudayaan iaitu untuk membina Kota Warisan.

"Saya tidak berhajat untuk berunding dengan mana-mana pihak termasuk MCA dan hanya bersedia berjumpa di mahkamah," katanya ketika ditemui di pejabat beliau di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas gesaan MCA supaya kerajaan mempertimbangkan semula langkah untuk mengambil alih tanah seluas 0.13 hektar yang terletak dalam kawasan SJKC itu untuk pembinaan Kampung Budaya.

Kelmarin Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkara itu perlu memandangkan tanah tersebut yang kini merupakan gelanggang bola keranjang telah digunakan oleh sekolah berkenaan sejak 1938.

Mengulas kenyataan Tiong Lai itu, Mohamed Nazri berkata, alasan tersebut lemah dan tidak relevan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment