My Add

Tuesday 16 July 2013

Tiada lanjutan selepas bersara 60

 Bung Moktar
KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 203: Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mendesak kerajaan tidak melanjutkan jawatan kontrak kepada semua penjawat awam yang telah mencapai usia bersara 60 tahun terutama bagi jawatan di peringkat tertinggi.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, langkah itu wajar kerana amalan tersebut boleh menyekat peluang kenaikan pangkat dalam kalangan penjawat-penjawat awam yang masih dalam perkhidmatan.

Beliau yakin mereka yang dilantik sebagai pengganti mampu menggalas tanggungjawab dengan baik dan kemungkinan lebih cemerlang daripada penjawat yang telah bersara itu.

''Saya mohon sekali lagi, kerajaan jangan tawarkan jawatan dalam bentuk kontrak kepada mana-mana penjawat awam yang telah bersara pada usia 60 tahun. Jika sudah bersara, bersara sahaja.

''Tidak perlu dilanjutkan kontrak setahun ke setahun. Berilah peluang kepada orang lain pula," katanya ketika membahaskan usul penguntukan semula peruntukan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan berikutan penyusunan semula tiga kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Menyentuh isu sama Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) dalam celahannya meminta Bung Moktar mengulas desas-desus bahawa kerajaan akan melanjutkan jawatan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dalam bentuk kontrak selepas bersara.

Menjawab soalan tersebut Bung Moktar berkata, beliau amat bertegas dalam pendiriannya itu.

''Pendirian saya tegas iaitu mana-mana individu (penjawat awam) yang telah mencapai usia bersara 60 tahun tidak perlu dilanjutkan lagi jawatannya dalam bentuk kontrak.

''Kecuali individu yang benar-benar mempunyai keistimewaan dan kebolehan luar biasa. Itu boleh kita pertimbangkan, namun jika prestasinya mendatar, berilah jawatan tersebut kepada orang lain," katanya.

Dalam pada itu Bung Moktar juga mahu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa melakukan pemantauan rapi terhadap segala tugas yang dilakukan oleh penjawat awam di pelbagai peringkat termasuk Ketua-Ketua Setiausaha kementerian bagi memastikan amanah membela nasib rakyat dijalankan dengan baik.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana penjawat awam yang akan menentukan kejayaan setiap dasar kerajaan yang bertujuan menyelesaikan masalah rakyat sekali gus mensejahterakan hidup rakyat.

''Dalam hal ini semua penjawat atau kakitangan awam perlu menjalankan tugas dengan amanah. Mereka merupakan jentera kerajaan dan wajib memastikan segala program kerajaan demi menjaga nasib rakyat tidak terjejas," katanya.

Menjawab celahan Zainudin Ismail (BN-Jelebu) Bung Moktar berkata, Malaysia sememangnya mengamalkan demokrasi tetapi tindakan segelintir penjawat awam yang menyokong pembangkang secara terbuka umpama susu dibalas tuba.

Terdahulu pada awal perbahasan Bung Moktar meminta kerajaan mewujudkan Kementerian Usahawan bagi membantu golongan usahawan di negara ini.

''Selama ini para usahawan kita tidak ada tempat untuk mengadu nasib memandangkan tiada satu kementerian khusus untuk membantu mereka.

''Disebab itu mereka terpaksa pergi ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk memohon bantuan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment