My Add

Wednesday 10 July 2013

Tiga lelaki dipenjara 21 tahun sabit bunuh tanpa niat: 

Oleh MARZITA ABDULLAH

SHAH ALAM, RABU, 10 Julai, 2013: Tiga rakan masing-masing dihukum penjara 21 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan membunuh tanpa niat seorang lelaki dengan bersenjatakan besi dan parang, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap penyelenggara bangunan, S. Baskaran, 38; pemandu lori, S. Ashok Thevar, 30, dan jurujual kereta, K. Uthayakumar, 29, setelah mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Beliau turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 30 Disember 2010.

Mereka mengaku membunuh tanpa niat Wan Zakaria Hamat, 37, menggunakan besi dan parang di Restoran Lotus, No. 1 Jalan Dato Dollah Off Persiaran Raja Muda, Klang dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 27 Disember 2010.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, mereka didakwa membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori namun mahkamah memutuskan untuk meminda pertuduhan kepada Seksyen 304(a) kanun sama. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment