My Add

Thursday 18 July 2013

Tindakan tegas perlu diambil

PAGOH, RABU, 17 Julai, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan cepat dan tegas terhadap pasangan kontroversi, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, kerana perbuatan mereka menghina agama Islam amat keterlaluan dan tidak boleh dimaafkan.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, beliau akan memaklumkan perkara tersebut kepada Peguam Negara serta pihak polis dan menyokong sepenuhnya sebarang tindakan atau hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasangan itu.

Menurut beliau, tindakan biadab pasangan itu jika dibiarkan tanpa tindakan tegas dan berani boleh membahayakan masa depan negara.

"Sebab itu saya minta pihak berkuasa, agensi-agensi penguatkuasaan yang ada seperti KDN teliti setiap satu perkara yang berlaku.

"Jika mahu ambil tindakan tidak susah sangat. Kalau sudah salah, ambil tindakan, hukum mereka, maaf tak cukup sebaliknya bawa ke mahkamah, biar mahkamah adili kes sebegitu," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa serta Penyampaian Sumbangan Untuk Surau dan Masjid Bahagian Pagoh, di Masjid Jamek Paya Redan, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, terdapat lima akta di bawah peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap pasangan berkenaan kerana kesalahan yang dilakukan amat besar iaitu menghina agama Islam.

Walau bagaimanapun, katanya, beliau memahami perkara itu perlu melalui proses bukti sebelum boleh diheret ke muka pengadilan namun tindakan tersebut tidak boleh mengambil masa terlalu lama kerana boleh menjejaskan imej kerajaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment