My Add

Wednesday 10 July 2013

Tindakan tentera Mesir belakangi undang-undang dibantah

 * GABUNGAN Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam berarak sambil membawa sepanduk dan gambar Mohamed Mursi sebagai tanda sokongan terhadap beliau dan membantah tindakan tentera Mesir yang menggulingkannya di hadapan Kedutaan Mesir di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Umat Islam di Malaysia membantah sekeras-kerasnya tindakan tentera pengawal Republik Mesir membelakangkan undang-undang dengan melakukan jenayah rampasan kuasa dan membunuh penduduk awam yang tidak berdosa.

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr. Mohd. Parid Syeikh Ahmad berkata, tindakan tentera Mesir itu amat memalukan Islam dan seluruh dunia perlu mengutuk perbuatan tersebut.

"Kita perlu memberikan tekanan kepada tentera Mesir yang melakukan jenayah kemanusiaan, yang tidak sahaja merampas kuasa pemerintahan Presiden Dr. Mohammed Mursi tetapi lebih buruk, membunuh rakyat yang sedang bersolat.

"Apakah melakukan solat fardu subuh itu merupakan satu jenayah yang perlu diambil tindakan secara zalim dengan menembak para jemaah sehingga mengorbankan begitu banyak nyawa yang tidak berdosa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengetuai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), IKRAM Siswa Nasional dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap rampasan kuasa pihak tentera Mesir di Kedutaan Mesir di Jalan Ampang Hilir di sini hari ini.

Hampir 3,000 umat Islam yang mewakili NGO Islam itu dan orang perseorangan berarak memegang sepanduk dan poster Mohammed Mursi yang digulingkan dari pusat beli-belah Ampang Point menuju pejabat kedutaan sambil melaung-laungkan sokongan terhadap bekas Presiden itu dan membantah tindakan tentera. Memorandum itu berjaya diserahkan kepada pihak kedutaan terbabit.

Mohd. Parid berkata, sebagai mewakili suara rakyat Malaysia khususnya umat Islam, pihaknya meminta kerajaan agar tidak mengiktiraf tindakan tentera Mesir itu.

"Sedangkan yang berlaku adalah lebih daripada 52 peratus rakyat Mesir bukan sahaja menyokong kepimpinan Dr. Mohammed Mursi tetapi menolak tindakan tentera yang menggunakan nama rakyat untuk merampas kuasa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment