My Add

Friday 19 July 2013

Titas bukan mengislamkan pelajar bukan Islam: TPM\

 Muhyiddin Yassin
PUTRAJAYA, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha kerajaan mewajibkan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan tidak akan mengislamkan pelajar bukan Islam di negara ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata subjek itu merupakan usaha kerajaan untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Kita sudah mulakan (subjek Titas) di peringkat IPTA sekian lama dan ia tidak menjadi apa-apa isu walaupun yang mengikuti subjek ini juga terdiri daripada pelajar-pelajar yang bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan khas dan berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 warga Kementerian Pendidikan Malaysia 2013 di kediaman rasminya, Sri Satria di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan P.Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Dr Madinah Mohamad dan Prof Datuk Dr Ir Zaini Ujang.

Khamis lepas, Muhyiddin mengumumkan di Parlimen bahawa subjek Titas akan diwajibkan untuk pengambilan baharu pelajar di IPTS tempatan mulai 1 Sept.

Bagaimanapun, pihak tertentu yang menentang langkah itu meminta Titas diperkenalkan sebagai subjek elektif kerana beranggapan bahawa mewajibkan subjek itu kepada bukan Islam adalah tidak adil.

Muhyiddin berkata subjek Titas akan meningkatkan pemahaman terhadap tamadun yang utama di Asia termasuk tamadun Islam, Hindu dan China agar pelajarnya dapat
menghargai nilai agama yang murni, memahami pencapaian dan kemajuan dalam membentuk satu tamadun yang hebat dalam bidang sains teknologi, astronomi, kimia serta fizik perubatan.

"Dengan memahami nilai-nilai murni setiap agama, kita dapat mengikis sebarang rasa prejudis terhadap penganut agama yang lain dan sekali gus saya yakin kita dapat meningkatkan persefahaman serta mengukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia akan terus menekankan aspek keharmonian dalam hubungan antara agama serta mendedahkan pelajar kepada nilai murni agar boleh dikongsi bersama.

"Bagi kita yang hidup dalam sebuah masyarakat majmuk, cabaran besar yang kita hadapi dari dahulu sehingga kini ialah bagaimana untuk menjadikan pendidikan sebagai satu wahana perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Murid-murid yang dididik daripada latar belakang, kaum dan agama yang berbeza perlu dibimbing supaya mereka menghormati adat resam, budaya dan agama yang dianuti semua," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata Pendidikan Islam merupakan satu komponen penting yang memberikan penekanan kepada aspek penghayatan nilai-nilai kerohanian kepada pelajar Islam agar menjadi insan yang beriman, sempurna, kamil dan bertakwa kepada Allah.

Bagi pelajar bukan Islam, beliau berkata pendidikan moral yang menekankan nilai-nilai murni harus dipupuk supaya menjadi manusia bijak pandai, nilai-nilai hidup tinggi, budi perkerti, dan berakhlak mulia yang dituntut rakyat Malaysia.

Sementara itu, Muhyiddin menyarankan warga Kementerian Pendidikan agar bekerjasama dan berusaha mencapai sasaran serta mencipta kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

"Masyarakat di luar berharap satu anjakan besar dalam penggabungan dua kementerian (Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi). Sehubungan itu, semua warga kementerian harus memanfaatkan kemahiran dan kepakaran yang ada dalam bidang pendidikan agar sistem pendidikan negara menjadi lebih baik pada masa-masa akan datang.

"Saya tahu cabaran yang bakal kita hadapi besar. Kita memerlukan sokongan, kerjasama, bantuan dan pertolongan untuk menjayakan dasar pendidikan negara,” katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment