My Add

Wednesday 24 July 2013

Titik panas di Indonesia meningkat

Oleh FADZLY IZAB, ZUHARMAN MOHAMMAD NOR dan NUR HANANI AZMAN
 
 * PEMANDANGAN Menara Berkembar Petronas kabur akibat jerebu yang kembali melanda Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARID JANUDIN
KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Dua kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini iaitu Bukit Rambai, Melaka dan Tanjung Malim, Perak.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat 5 petang ini, Tanjung Malim mencatat bacaan IPU pada 106 iaitu yang tertinggi manakala Bukit Rambai, Melaka kekal 103 sejak pagi ini.

JAS dalam kenyataannya memberitahu, peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan di tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung adalah dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan.

"Laporan Pusat Pakar Meteorologi ASEAN (ASMC) menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia adalah sebanyak 252 berbanding 261 titik panas pada 21 Julai 2013,'' kata kenyataan itu.

Di Malaysia, sebanyak 26 titik panas dikesan melalui satelit NOAA-18 pada 22 Julai 2013 iaitu di Negeri Johor (6), Kelantan (5), Pahang (7), Perak (4), Negeri Sembilan (2), Selangor (1) dan Sarawak (1).

Negara kini mengalami musim Monsun Barat Daya dengan cuaca panas dan kering bermula pada Jun 2013 dan dijangka berterusan sehingga awal Oktober 2013.

Angin Monsun Barat Daya yang bertiup dari kawasan titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia telah membawa lingkaran jerebu sederhana ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka dan bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil di samping melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat dengan menelefon 999 atau Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800- 88-2727.

Di MELAKA, bacaan IPU di beberapa kawasan menunjukkan penurunan sejak semalam dan keadaan jerebu di negeri itu dijangka bertambah baik berdasarkan faktor cuaca dan perubahan angin.

Di KELANTAN, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar itu mendapati, keadaan berjerebu tidak menjejaskan aktiviti harian orang ramai, khususnya umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa Ramadan.

Malah, orang ramai terus rancak menjalankan aktiviti seharian mereka, termasuk pergi ke pasar dan mengunjungi bazar-bazar Ramadan bagi membeli keperluan harian dan berbuka puasa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment