My Add

Friday 19 July 2013

TPPA bakal 'bunuh' industri kreatif tempatan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Kerajaan digesa tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dilihat bukan sahaja menyekat hak bersuara rakyat, malah boleh 'membunuh' industri kreatif tempatan.

Penegasan itu disuarakan Persatuan Usahawan Internet Malaysia, sebuah persatuan di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang tidak bersetuju dengan TPPA atas dua faktor iaitu perjanjian berkenaan tidak melibatkan pandangan awam terutama pemain industri dan dijalankan secara rahsia.

Presidennya, Mohd. Azrul Mohd. Nor berkata, jika industri kreatif tempatan 'berkubur', pelaburan kerajaan yang dilihat besar dalam membangunkan industri itu akan menjadi sia-sia apabila penggiatnya tidak lagi mampu bersaing dengan 'kuasa besar' seperti Hollywood.

Menurutnya, hal demikian kerana penggiat luar boleh terus mengeluarkan cerita animasi dengan modal yang lebih murah untuk dijual ke negara lain.

"Setakat ini kita ada animasi Upin dan Ipin serta Boboi Boy. Bagaimana dengan produk-produk terbaharu selepas ini jika TPPA ditandatangani?

"Isu kandungan kreatif seperti animasi yang semakin popular dalam negara boleh 'diceroboh' oleh kuasa besar seperti Hollywood," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Bukit Damansara dekat sini hari ini.

TPPA sebelum ini mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan keputusan kerajaan untuk menyertai TPPA adalah bergantung kepada dasar perlindungan ekonomi bumiputera.

TPPA yang dijangka dimuktamadkan Oktober ini melibatkan Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan terbaharu Jepun.

Mohd. Azrul memberitahu, bantahan terhadap TPPA juga berkaitan dengan isu penyalahgunaan Perjanjian Perdagangan Berkaitan Harta Intelek (TRIPS) melalui penggubahan polisi (policy laundering).

"Dalam ekonomi digital, kewujudan TRIPS yang asalnya digunakan untuk mewujudkan keseimbangan dalam harta intelek akan berlaku sebaliknya jika ada pihak melakukan 'policy laundering'.

"Isu-isu lain, TPPA akan menyekat hak bersuara rakyat termasuk menyekat penciptaan kandungan digital, kebolehan syarikat teknologi tempatan mencipta produk inovasi serta sekatan kebolehan pengguna untuk menggunakan kandungan digital dalam pelbagai cara," katanya.

Atas dasar itu jelasnya, persatuan merancang mengadakan pertemuan selain menghantar memorandum bantahan kepada kementerian bertanggungjawab khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, MTEM merancang menyerahkan memorandum bantahan mengenai TPPA kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di ibu pejabat kementerian itu di Jalan Duta, esok. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment