My Add

Sunday 14 July 2013

Tunai janji, cuti Thaipusam di Kedah ke mesyuarat Exco

ALOR SETAR  AHAD, 14 Julai, 2013: Kerajaan negeri Kedah akan menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu untuk menjadikan perayaan Thaipusam sebagai cuti umum di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan negeri, Mohd. Rawi Abd Hamid berkata, pada PRU13 yang lalu, Barisan Nasional (BN) telah membuat manifesto berkenaan dan janji itu akan dikotakan tidak lama lagi.

"Kita akan bawa permohonan untuk dibincangkan bersama Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Rabu ini bagi menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum sama seperti cuti Deepavali.

"Saya harap hasil perbincangan mesyuarat nanti akan memberi berita gembira kepada semua penganut Hindu di Kedah kerana sudah sampai masanya Thaipusam dijadikan sebagai cuti umum kerana di Kedah terdapat hampir 20,000 penganut Hindu," katanya selepas melawat tapak bangunan Pertubuhan Sri Ramakarishna di Alor Semadom sini hari ini.

Sementara itu, Bendahari MIC Kedah R. Muniandy berkata permohonan untuk menjadikan Thaipusam sebagai cuti umum di negeri ini telah lama dilakukan iaitu ketika Datuk Seri S. Samy Vellu menjadi Presiden MIC.

"Pada 2008, parti pembangkang telah membuat janji untuk membawa permohonan berkenaan perkara itu sekiranya mereka berjaya menawan Kedah tetapi selepas berjaya menawan Kedah, janji yang mereka tabur tidak dikotakan.

"Kami berterima kasih kepada BN kerana berani mengambil inisiatif untuk mengotakan janji berkenaan cuti Thaipusam yang ditunggu-tunggu penganut Hindu di Kedah," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment