My Add

Sunday 14 July 2013

UMNO Kelantan tumpu kempen golongan muda di Kuala Besut

JELI, AHAD, 14 Julai, 2013: UMNO Kelantan akan memberi tumpuan kepada golongan muda sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata gerak kerja kempen itu dimulakan jentera Pemuda dan Puteri negeri ini sejak hari penamaan calon PRK itu Jumaat lepas.

"Memang tumpuan kita (Umno Kelantan) selain memberi tumpuan kepada pengundi dewasa tetapi yang lebih penting adalah pengundi muda yang merupakan sebahagian besar pengundi di Kuala Besut.

"Pengundi muda adalah penentu kepada sokongan dan sikap mereka ini sukar ditentukan seperti pilihan raya umum sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan di Kompleks UMNO Bukit Nangka di sini, malam tadi.

PRK DUN Kuala Besut yang akan diadakan pada 24 Julai ini menyaksikan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, seorang jurutera menentang calon PAS, Endot@Azlan Jusoh, 48, seorang ahli perniagaan.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu. Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi.

Mengenai persiapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14, Mustapa berkata Umno Kelantan dalam persiapan melahirkan pemimpin pelapis daripada golongan ulama.

"Kita mahu ketengahkan banyak calon ulama ini dan saya mahu mereka ini diberikan tempat selayaknya dalam bahagian untuk menabur bakti," katanya.

Untuk itu, katanya, Umno Kelantan akan mengenal pasti golongan berkenaan yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin pelapis dan perlu terlibat dalam setiap program parti di peringkat bahagian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment