My Add

Sunday 28 July 2013

UMNO Sabah perlu bekerja keras

 * MOHD. Shafie Apdal (kanan) bersalaman dengan Najib Tun Razak pada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU, SABTU, 27 Julai, 2013: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan barisan kepimpinan parti di negeri ini supaya terus bekerja keras bagi memastikan Sabah kekal sebagai 'deposit tetap' yang memberi sumbangan besar kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Perdana Menteri turut memberi nasihat dan pandangan beliau kepada barisan kepimpinan UMNO Sabah dalam usaha mengukuhkan lagi peranan badan perhubungan di negeri ini.

Katanya, selain memberi amanat dan pesanan agar terus setia kepada parti, Najib turut memberi peringatan agar memilih barisan kepimpinan UMNO yang terbaik pada pemilihan parti hujung tahun ini.

"Pada perjumpaan antara Perdana Menteri dan Badan Perhubungan UMNO negeri hari ini, Presiden UMNO juga menzahirkan penghargaan secara peribadi kepada barisan kepimpinan UMNO Sabah yang telah banyak membantu parti terutama pada pilihan raya umum lalu.

"Beliau meminta UMNO Sabah terus bekerja keras memastikan negeri ini kekal sebagai 'deposit tetap' kepada BN, sekali gus mengekalkan kemenangan besar yang diperoleh pada pilihan raya umum lalu," katanya yang ditemui selepas menghadiri perjumpaan itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalannya, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan barisan kepimpinan sayap UMNO termasuk Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, sumbangan besar yang diberikan oleh BN dari Sabah dan Sarawak kepada kejayaan parti memenangi pilihan raya umum lalu telah dibalas oleh kerajaan dengan melantik ramai pemimpin dari dua negeri tersebut bagi memegang jawatan dalam kementerian.

Menurutnya, perkara itu dibuat selari dengan sumbangan dan kerja keras yang diberikan oleh barisan kepimpinan dua buah negeri itu dalam memastikan BN terus menerajui negara.

Sehubungan itu katanya, barisan kepimpinan BN harus terus berkerja keras untuk mendekati rakyat dan melaksanakan janji yang telah diberikan kepada mereka pada PRU lalu.

Selain itu katanya, Presiden UMNO turut mengucapkan tahniah atas kerjasama dan sumbangan gerak kerja yang diberikan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut baru-baru ini dengan menghantar rombongan bagi membantu calon BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Seberang Barat.

Jelasnya, pendekatan mendekati masyarakat yang dilaksanakan oleh UMNO Sabah ternyata membantu calon BN untuk mencatatkan kemenangan di PDM tersebut dengan majoriti yang baik. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment