My Add

Thursday 18 July 2013

Umur bersara: UNI-MLC bantah kelonggaran 258 syarikat

PUTRAJAYA, RABU, 17 Julai, 2013: Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) membantah tindakan Kementerian Sumber Manusia membenarkan 258 syarikat menangguhkan tarikh kuatkuasa pelaksanaan umur persaraan minimum 60 tahun, daripada Julai lepas kepada Januari 2014.

Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihak kementerian memberikan kebenaran itu pada 28 Jun lalu, selepas menerima permohonan daripada syarikat-syarikat berkenaan, tanpa berbincang dengan pihak kesatuan terlebih dahulu.

Beliau berkata, tindakan itu menjejas peluang ribuan pekerja dalam tempoh enam bulan akan datang, untuk menikmati pelaksanaan umur persaraan minimum 60 tahun.

Menurutnya Majlis Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi UNI-MLC yang bersidang pada 1 Julai lepas memutuskan untuk membuat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon campur tangan beliau bagi menyelaras tarikh pelaksanaan umur persaraan minimum itu kepada 1 Julai lepas, buat semua syarikat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar kawasan perkarangan pejabat Perdana Menteri di sini, bersama hampir 100 anggota kesatuan itu yang membawa kain rentang mengharapkan masalah mereka mendapat perhatian.

Mohamed Shafie kemudiannya dilihat memasuki kawasan bangunan Perdana Putra bagi menyampaikan satu memorandum bagi memohon campurtangan Perdana Menteri dalam perkara itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment