My Add

Sunday 28 July 2013

Unit Integriti di setiap agensi awam 1 Ogos ini
KUALA LUMPUR, SABTU, 27 Julai, 2013: Kerajaan akan menubuhkan Unit Integriti di setiap agensi awam sebagai inisiatif untuk menumpukan pengurusan isu-isu berkaitan kewibawaan kakitangan awam berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, langkah itu merupakan salah satu usaha bagi membendung salah laku jenayah, pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi di kalangan penjawat awam.

"Sebagai satu usaha kawalan dalam aspek integriti, unit ini bertanggungjawab melaksanakan enam fungsi teras iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan dan tatatertib.

"Bagi tujuan ini, fungsi-fungsi sedia ada yang dilaksanakan oleh pelbagai bahagian atau cawangan tertentu di agensi terbabit perlu dipindahkan ke Unit Integriti berdasarkan kepada model yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Paul, bagi menetapkan model yang bersesuaian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan penarafan risiko agensi setiap tiga tahun atau mengikut keperluan.

Oleh itu, jelas beliau, dalam menentukan kesesuaian model Unit Integriti, SPRM telah membuat penarafan risiko rasuah terhadap agensi-agensi perkhidmatan awam peringkat Persekutuan dan negeri.

"Taraf risiko ini dibuat melalui pengiraan skor 'weightage' perangkaan SPRM dan kriteria lain seperti amaun bajet pembangunan atau aset pembangunan dengan fokus kepada yang melebihi RM1 bilion bagi tahun terkini serta kriteria tahap persepsi risiko rasuah yang tinggi.

"Bagi kementerian pula, kriteria tambahan turut digabungkan iaitu taraf risiko yang diberikan hendaklah melebihi daripada taraf risiko tertinggi agensi-agensi di bawahnya," kata beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment