My Add

Wednesday 24 July 2013

Unjuran KDNK Malaysia kekal 5-6 peratus: Husni

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun ini kekal antara 5-6 peratus, dirangsang oleh aliran masuk modal jangka panjang yang kukuh dalam bentuk pelaburan persendirian bagi menyokong peluasan berterusannya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata dalam suku pertama tahun ini, jumlah pelaburan yang diluluskan ialah RM49.3 bilion, mewakili peningkatan 44 peratus dalam tempoh yang sama 2012.

"Untuk suku pertama tahun ini, kita sudah mencapai pertumbuhan 4.1 peratus dan kita percaya, kita dengan mudah boleh mencecah lima peratus. Pada kebiasaannya, kita bermula agak perlahan tetapi menjadi lebih baik dalam suku-suku berikutnya. 

"Kita juga mempunyai ekonomi domestik yang amat kukuh yang termasuklah perbelanjaan awam, pelaburan persendirian dan penggunaan persendirian," kata beliau pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucap tama di Persidangan Perbankan Malaysia ke-17 di sini, hari ini.

Ahmad Husni berkata, sektor kewangan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia, memanfaatkan lebih 145,000 orang dan menyumbang 12 peratus kepada KDNK Malaysia.

Katanya, sistem perbankan negara juga adalah pemangkin untuk pertumbuhan dan pembangunan sektor-sektor ekonomi yang lain, dengan memastikan peruntukan optimum modal dan sumber.

"Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 yang dimajukan oleh Bank Negara Malaysia mengukuhkan lagi inisiatif kerajaan untuk memacu Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya menjelang 2020, dan pada masa yang sama mengekalkan agenda pembangunan dan pertumbuhan terangkum dan mampan," katanya.

Ahmad Husni berkata, pemasukan kewangan ialah satu lagi fokus utama pelan itu bagi memastikan penyertaan orang ramai dan pada masa yang sama mendapat manfaat daripada pembangunan dan kemakmuran ekonomi negara.

"Ini juga menerusi akses yang lebih baik dan mampu kepada perkhidmatan kewangan seperti perbankan, insurans dan perkhidmatan pembayaran," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment