My Add

Sunday 14 July 2013

UPP Kelantan tubuh unit banteras senjata api

TUMPAT, AHAD, 14 Julai, 2013: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan menubuhkan unit risik khusus untuk membanteras penyeludupan dadah dan senjata api terutama di kawasan sempadan antara Kelantan-Thailand.

Komandernya, Rusli Karim berkata unit itu, yang mempunyai lebih 30 anggota terlatih, berpangkalan di ibu pejabat negeri UPP di Kota Baharu.

Beliau berkata, unit itu akan bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat dalam penguatkuasaan di sempadan negara termasuk agensi keselamatan di negara jiran dalam memastikan dua masalah utama itu dapat diatasi.

"Unit ini akan diperkasakan dan kami yakin ia mampu berperanan dalam membantu membanteras penyeludupan dadah dan senjata api yang menjadi masalah ketika ini.

"Mereka ini akan bekerjasama erat dengan semua pihak dalam Ops Wawasan dan Ops Merpati di sempadan dan pasukan elit unit ini juga sentiasa mendapatkan maklumat daripada pihak tertentu dari negara jiran," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempertingkat penguatkuasaan kawalan keluar masuk di sempadan Kelantan-Thailand berikutan peningkatan kes jenayah berat termasuk bunuh dengan senjata api di negeri ini akhir-akhir ini.

Mengulas perkara itu, Rusli berkata, pada Mac lepas, UPP Kelantan merampas selaras senjata api dalam satu pemeriksaan di Rantau Panjang.

"Kami memberikan tumpuan dalam empat kawalan pemeriksaan statik iaitu di Rantau Panjang di Pasir Mas, Neting dan Chabang Empat Salam di Tumpat dan di Lalang Pepuyu di Jeli selain pemeriksaan berkala," katanya.

Beliau berkata, UPP juga meningkatkan kawalan semasa Ramadan terutama pada waktu berbuka puasa yang dikatakan masa sesuai untuk penyeludup bertindak.

"Baik di sungai iaitu sepanjang Sungai Golok dan juga di darat, pihak kami tidak pernah 'bercuti' atau leka dalam mengawal sempadan negara," katanya.

Rusli berkata, lebih 150 anggotanya di seluruh Kelantan telah membuktikan komitmen itu iaitu sepanjang Januari hingga Jun lalu, unit itu menahan 426 pendatang tanpa izin dan membuat pelbagai rampasan yang bernilai RM4.29 juta.

"Selain itu, kami juga memberikan tumpuan pada Ramadan ini untuk mengekang kemasukan mercun dan bunga api...ia akan dimantapkan lagi ketika pertengahan sehingga akhir puasa bagi mengekang kemasukan bahan larangan ini," katanya.

Rusli juga mengakui bukan mudah untuk mengekang masalah penyeludupan di Sungai Golok berikutan kesukaran mengawal sempadan.

Sehubungan itu, Rusli meminta kerjasama penduduk terutama yang tinggal di tebing sungai itu agar memberikan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti penyeludupan itu.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kumpulan penyeludup yang berada di tebing Sungai Golok beredar dengan kenderaan apabila melihat bot UPP yang meronda di beberapa kawasan di sungai berkenaan namun kembali berada di lokasi berkenaan sebaik rondaan itu beralih arah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment