My Add

Saturday 27 July 2013

Usahawan kosmetik diugut bunuh melalui SMS

 * ALIFF Syukri Kamarzaman menunjukkan salinan laporan polis dan SMS berbau ugutan bunuh di rumahnya, di Kota Damansara, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
PETALING JAYA, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Pengasas produk kosmetik D'Herbs Healthy Sdn. Bhd. (D'Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman tidak boleh tidur lena kerana dihantui kebimbangan ekoran diugut bunuh oleh seorang individu yang tidak dikenali sejak lapan bulan lalu.

Usahawan kosmetik termuda di Malaysia itu mula menerima ugutan bunuh yang dihantar suspek melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak awal tahun ini dan terbaharu diterimanya pada 21 Julai lalu.

Bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, Aliff Syukri, 26, melaporkan perkara itu kepada polis pada 22 Julai lalu meminta agar siasatan dilakukan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab melakukan ugutan tersebut.

Menurut Aliff Syukri, suspek dipercayai individu yang sama walaupun menghantar nota ugutan menggunakan nombor telefon berbeza sejak awal tahun ini.

Sejak itu, katanya, selang dua bulan, suspek akan menghantar SMS ancaman mahu membunuhnya seperti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

"Saya bagaimanapun hanya membuat laporan polis selepas menerima SMS ketiga dan panggilan telefon daripada suspek pada 21 Julai lalu.

"Dua SMS diterima sebelum itu, saya tidak melaporkan kepada polis kerana menganggap suspek hanya main-main," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Damansara di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam SMS yang dihantar, suspek mempertikaikan iklan produk syarikat yang menggunakan dirinya sebagai model, gelaran Datuk yang diterima dan mengugut mahu menghantar pembunuh upahan menembaknya.

Aliff Syukri berkata, ugutan tersebut cukup membimbangkan kerana beliau mempunyai isteri dan anak- anak yang masih kecil, selain kes tembak oleh pembunuh upahan yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Selain menghantar SMS ugutan bunuh, beliau berkata, rumah lamanya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh pernah dua kali disamun dalam tempoh dua tahun lalu dan rumah yang baharu sahaja didiami selama lapan bulan di Kota Damansara turut nyaris dipecah masuk penjenayah baru-baru ini.

"Saya syak kejadian samun terbabit turut mempunyai kaitan dengan suspek yang menghantar ugutan bunuh tersebut.

"Disebabkan insiden samun itu, saya telah menggaji pengawal untuk menjaga rumah dan pengawal peribadi untuk melindungi kami sekeluarga walaupun kawasan kediaman saya sudah ada unit kawalan pengawal," katanya.

Selain membuat laporan polis, Aliff Syukri berkata, beliau sudah melantik peguam untuk mendakwa individu bertanggungjawab mengugutnya sebaik sahaja suspek dapat dikesan oleh polis. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment