My Add

Wednesday 24 July 2013

'Utamakan media bahasa Melayu'

Oleh NUR HANANI AZMAN

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa syarikat milik kerajaan (GLC) terlibat supaya memberi keutamaan kepada media berbahasa Melayu dalam mengiklankan produk dan perkhidmatan mereka. Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, sudah tiba masanya untuk GLC kembali kepada matlamat asal penubuhannya iaitu menjadi benteng kepada kerajaan dalam memperkasakan ekonomi bumiputera.

"Kementerian Kewangan diharap boleh mengeluarkan garis panduan khusus bagi memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus bajet iklan GLC diberikan kepada media berbahasa Melayu yang selama ini telah dianaktirikan

"Hal ini berikutan tindakan tidak adil GLC itu secara tidak langsung telah mencerminkan sikap mereka yang menyisihkan pelbagai media berbahasa Melayu yang terdapat dalam negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan jumlah perbelanjaan pengiklanan oleh 17 syarikat GLC terbesar di negara untuk media berbahasa Melayu sepanjang 2012 adalah lebih rendah berbanding dibelanjakan untuk media berbahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah yang dibelanjakan oleh kesemua GLC terbabit untuk membeli iklan dalam media berbahasa Melayu adalah pada kadar 23 peratus daripada perbelanjaan pengiklanan manakala bagi media berbahasa Inggeris (49.5 peratus).

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini perlu didukung oleh semua pihak termasuk kerajaan mahupun swasta.

"Saya percaya lebih ramai masyarakat yang fasih berbahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris, justeru mesej melalui iklan daripada mana-mana syarikat akan lebih berkesan jika diiklankan dalam media berbahasa Melayu.

"Pihak kami mohon agar GLC bertindak lebih positif dengan mengutamakan media berbahasa Melayu yang juga mempunyai nilai komersial dan pembaca setia tersendiri," katanya - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment