My Add

Tuesday 16 July 2013

Wajib Tamadun Islam di IPTS: Bantahan NGO tidak berasas

SHAH ALAM, ISNIN, 15 Julai, 2013: Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) mempersoalkan tindakan pihak tertentu khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menentang pelaksanaan pembelajaran subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, penentangan tersebut dilihat tidak berasas memandangkan subjek tersebut dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Selain tidak pernah menimbulkan masalah kepada pelajar bukan Islam, beliau berkata, subjek itu sebenarnya membuka kefahaman pelajar dalam kalangan bukan Islam mengenai agama itu, perkembangan ilmu serta kaitannya dengan tamadun lain.

''Mengapa sekarang timbul bantahan mengenai subjek itu sedangkan di IPTA saya difahamkan subjek itu sudah lama diwajibkan kepada pelajar. Malah, subjek itu tidak pernah menjadi masalah kepada pelajar bukan Islam selama ini.

''Sebenarnya, pelaksanaan subjek itu bukanlah isu tetapi sengaja dijadikan isu oleh pihak tertentu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita semalam mengenai gabungan NGO mahu kerajaan mempertimbangkan semula keputusan mewajibkan mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia kepada semua pelajar.

Gabungan NGO itu terdiri dari sekumpulan organisasi anak muda Cina dikenali dengan nama Emco, Buddhist Research Society of Malaysia (BRSM) dan Buddhist Missionary Society Malaysia (BMSM), tidak bersetuju dengan usaha tersebut yang didakwa mereka sebagai satu "indoktrinasi" ke atas pelajar.

Laporan tersebut turut memetik kenyataan Setiausaha Agung Young Buddhist Association of Malaysia, Wong Sook Kim yang mendakwa ketetapan pelaksanaan pembelajaran subjek tersebut melanggar Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan agama seseorang dan menghalang indoktrinasi sesuatu agama tidak dianutinya.

Dalam perkembangan lain, Hamidzun menyifatkan pelbagai tindakan melibatkan penghinaan terhadap orang Islam oleh orang bukan Islam di negara ini berpunca daripada sikap pelaku itu sendiri yang bukan hanya tidak memahami agama Islam itu tetapi enggan menghormati sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, sikap sedemikian barangkali menyebabkan pasangan bukan Islam mencetuskan kemarahan umat Islam selepas mempersenda kedatangan Ramadan dengan memuat naik gambar mereka sedang menikmati hidangan bak kut teh (sup tulang babi) yang tertera logo halal di laman sosial baru-baru ini.

''Keadaan seumpama itu sebenarnya tidak sihat kepada perpaduan dan keamanan negara justeru, ketegasan dari segi undang-undang perlu dilakukan berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.

''Jika perundangan masih belum mencukupi, maka perlu diwujudkan peruntukan baharu bagi membendung perkara seumpama ini. Dari segi penguatkuasaan, pihak berwajib perlu melaksanakannya dengan lebih tegas terhadap pelaku seumpama itu,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment