My Add

Wednesday 3 July 2013

Wanita Vietnam ke tali gantung edar dadah

 SHAH ALAM, SELASA, 02 Julai, 2013: Seorang pembantu restoran warga Vietnam dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 1,505.3 gram syabu, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu terhadap Phan Thi Diem Phuong, 35, selepas mendapati pembelaan wanita itu gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurut hakim tersebut, tertuduh yang mengatakan dia datang ke negara ini untuk mencari pekerjaan, sebenarnya mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang dibawanya itu.

Tertuduh juga dalam pembelaannya mendakwa, kononnya dia disuruh oleh kawan sekampungnya bernama May supaya menyerahkan beg bimbit berisi dadah itu kepada seorang lelaki di sini.

Tertuduh ditangkap ketika tiba dengan penerbangan dari Bangkok.

Menurut hakim tersebut, pembelaan wanita itu tidak masuk akal memandangkan ketika ditahan, dia gagal memberikan maklumat mengenai individu yang didakwa menawarkan pekerjaan kepadanya.

Wanita itu didakwa mengedar dadah tersebut di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 8.50 malam, 22 Mac 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azamuddin Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili oleh peguam Halim Ashgar Hilmi. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment