My Add

Friday 12 July 2013

Waspada pihak guna nama PUNB

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menasihatkan orang ramai khususnya golongan usahawan dan peniaga Bumiputera agar tidak terpedaya dengan segelintir penganjur bengkel dan kursus perniagaan yang menguna pakai nama PUNB.

Menurut PUNB, baru-baru ini ia mendapati terdapat syarikat yang menganjurkan bengkel perancangan dan pengurusan perniagaan yang menyalahgunakan risalah-risalah skim pembiayaan PUNB dan sebuah lagi badan pembiayaan kerajaan yang lain.

Pihak penganjur bengkel ini juga didapati mengenakan bayaran tinggi kepada peserta bengkel dan menjanjikan kelulusan pinjaman oleh PUNB kepada para peserta setelah tamat latihan bengkel tersebut, demikian menurut agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

"PUNB memandang serius penyalahgunaan nama PUNB dan ia merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Oleh itu, orang ramai adalah disarankan supaya tidak terpedaya dan sentiasa berhati-hati dengan individu/syarikat yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan," katanya.

Menurut kenyataan itu, PUNB tidak pernah melantik mana-mana pihak atau ejen untuk menganjurkan sebarang program, kursus atau bengkel latihan perniagaan bagi pihaknya.

PUNB juga tidak mengamalkan jaminan kelulusan pembiayaan secara automatik tanpa menilai kertas cadangan perniagaan daripada seseorang usahawan itu terlebih dahulu.

PUNB mengadakan taklimat mingguan pembiayaan perniagaan pada setiap Isnin di Pejabat PUNB dan di semua pejabat Wilayah dan Cawangan UTC bermula pada 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Kemasukan dan pendaftaran untuk sesi taklimat adalah percuma.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1300 13 7862 atau layari laman portal rasmi PUNB di www.punb.com.my. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment