My Add

Friday 19 July 2013

WOW kurangkan kes trak tunda tipu

PETALING JAYA, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Perkhidmatan bengkel bergerak Workshop On Wheels (WOW) yang diperkenalkan oleh PLUS Malaysia Bhd. (PLUS), berjaya mengurangkan bilangan aduan kes penipuan oleh trak tunda dan bengkel secara mendadak.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, pihaknya menerima kira-kira 42 aduan berhubung kegiatan penipuan trak tunda dan bengkel sepanjang 2011 sehingga September 2012.

Kata beliau, selepas perkhidmatan WOW diperkenalkan pada Oktober tahun lalu, hanya lima aduan diterima setakat ini.

"Penubuhan WOW merupakan inisiatif PLUS bagi mengelakkan pengguna yang kenderaan rosak di lebuh raya terdedah kepada risiko ditipu oleh syarikat trak tunda atau bengkel yang tidak bertanggungjawab.

"Setelah hampir setahun perkhidmatan ini diperkenalkan, kita dapat melihat ia memberi kesan yang amat positif sehingga bilangan aduan juga menurun secara mendadak," katanya dalam sidang akhbar pada majlis taklimat prestasi perkhidmatan dan demonstrasi WOW di Menara Korporat Persada PLUS, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Melinda Ngew.

Noorizah memberitahu, PLUS mengadakan kolaborasi dengan AAM untuk sama-sama menangani masalah tersebut.

"Pihak AAM telah melantik bengkel-bengkel panel mereka untuk menyediakan perkhidmatan bengkel bergerak di lebuh raya," ujarnya.

Menurutnya, seperti mana perkhidmatan yang diberikan oleh PLUSRonda ketika ini, WOW juga menawarkan perkhidmatan menunda kenderaan ringan (Kelas 1) ke plaza tol, kawasan rehat atau hentian sebelah yang terdekat, memeriksa dan membaiki kerosakan kecil secara percuma kepada pengguna lebuh raya yang menghubungi mereka.

"Selain itu, WOW turut menyediakan perkhidmatan membaiki dan menukar alat ganti kenderaan antaranya bateri kereta, radiator, kipas dengan harga yang berpatutan. Semua kerja ini akan dikendalikan di lokasi selamat tanpa perlu keluar dari lebuh raya dan membayar kos tundaan," katanya.

Jelas Noorizah, terdapat 17 pasukan WOW yang beroperasi 24 jam di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuh Raya Linkedua pada ketika ini.

"Sebanyak 3,387 kes kerosakan kenderaan berjaya diselesaikan oleh pasukan WOW sejak diperkenalkan secara berperingkat bermula Oktober 2012.

"PLUS juga menasihati orang ramai agar menghubungi talian bebas di 1800 88 0000 ketika menghadapi kecemasan dan memerlukan bantuan di lebuh raya. Mereka juga boleh menggunakan talian tersebut sekiranya ragu tentang perkhidmatan trak tunda lain," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment