My Add

Sunday 28 July 2013

YES mahu bina Kompleks Gelandangan

Oleh Aqilah Mior Kamarulbaid
 
 * Mustapa Kamal Mohd. Yusuff dibantu Mariam Minhat (kiri) mengagihkan makanan pada Program Sahur Bersama Anak-Anak Gelandangan di Jalan Raja Bot, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SABTU, 27 Julai, 2013: Yayasan Ehsan Seputeh (YES) bercadang menubuhkan sebuah pusat sehenti atau institusi bagi anak-anak golongan gelandangan.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusuff berkata, pusat sehenti yang dikenali sebagai Kompleks Gelandangan itu masih dalam peringkat perbincangan.

"Tujuannya bukan sekadar untuk mengumpulkan golongan tersebut, malah memberi latihan dan pendidikan berkonsepkan kemahiran supaya mereka boleh bersekolah seperti kanak-kanak lain dan berdikari serta berjaya di luar sana.

"Kita telah mengadakan perbincangan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mereka memberikan respons positif tetapi perlu melibatkan beberapa agensi seperti Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas menyampaikan sumbangan sempena program sahur bersama anak gelandangan Persatuan Perlindungan Sinar Salam Teratak Arfidah, Kampung Baru di sini.

Turut hadir Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh , Datuk Hajjah Mariam Minhat.

Terdahulu, beliau menyampaikan duit raya kepada seramai 15 kanak-kanak selain televisyen plasma, pemain cakera padat digital (DVD) dan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada persatuan tersebut.

Menurut Mustapa Kamal, menerusi latihan yang disediakan institusi itu, pihaknya juga berharap dapat membantu mengurangkan pengambilan pekerja warga asing di negara ini.

"Kenapa kita tidak memberi latihan kepada golongan tersebut supaya mereka mampu meningkatkan taraf ekonomi selain membimbing mereka ke jalan yang benar.

"Institusi ini dapat membentuk jati diri supaya golongan ini tidak dipandang hina oleh masyarakat apabila mereka dididik dengan ilmu dunia dan akhirat bahkan dengan taraf pendidikan yang diterima, mereka boleh bekerja dan menampung kehidupan sendiri dan keluarga," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment