My Add

Thursday 18 July 2013

Yuktes buat laporan polis, dedah taktik kotor Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Bekas pembantu peguam bela utama Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis mendesak siasatan dijalankan ke atas pemimpin pembangkang itu berhubung taktik kotor beliau supaya perbicaraan pertuduhan liwat yang melibatkannya ditunda.

Laporan polis itu dibuat oleh Yuktes Vijay yang merupakan bekas pembantu Sankara Nair pada pukul 11 pagi di Balai Polis Travers di sini.

Yuktes mendakwa, selama Anwar terlibat dalam beberapa perbicaraan kes yang membabitkan dirinya, beliau telah menggunakan sijil cuti sakit palsu semata-mata untuk memastikan perbicaraan tersebut ditunda.

"Bukan sahaja kes liwat malah perbicaraan kerana terlibat mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram juga beliau turut menggunakan taktik kotor tersebut," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Yuktes sebelum ini pernah menulis dua surat terbuka kepada Anwar yang turut disiarkan beberapa akhbar tempatan dan blog berhubung kes liwat membabitkan bekas pembantu peribadi Anwar iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Surat tersebut antara lain mengandungi kisah dalaman yang tidak diketahui di sebalik kes liwat tersebut.

Beliau menjelaskan, tujuan Anwar mahu kes-kes tersebut ditunda hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat khususnya penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap kes-kes yang disabitkan ke atas beliau.

Tambah Yuktes, beliau pernah menulis surat kepada Anwar bagi meminta segera menghentikan konspirasi bersama peguamnya tetapi ekoran daripada itu beliau telah dikecam dan diugut bunuh.

"Bukti mengenai konspirasi Anwar bersama Sankara untuk melengah-lengahkan perbicaraan sementara mereka cipta 'idea baru' atau isu yang boleh menjatuhkan kerajaan juga ada bersama saya.

"Selama saya berkhidmat selama lebih dua tahun bersama mereka, saya tahu setiap perancangan kotor yang disusun oleh mereka termasuklah isu rekaan mereka yang mengaitkan penipuan pilihan raya baru-baru ini," dakwanya lagi.

Beliau turut mencabar Majlis Peguam supaya tampil memberi kenyataan berhubung tindakan kotor Anwar tersebut yang jelas tidak menghormati undang-undang dan sistem kehakiman negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment