My Add

Wednesday 7 August 2013

1,500 anggota St. John Ambulans dikerah bantu semasa Aidilfitri

KUALA LUMPUR, RABU, 07 Ogos, 2013: St. John Ambulans Malaysia (SJAM) mengerahkan seramai 1,500 ahlinya untuk memberi bantuan kecemasan di beberapa lebuh raya mulai semalam sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Turus SJAM, V Mohanadasan, berkata anggotanya akan ditempatkan di beberapa lokasi iaitu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Pantai-Timur (LPT) dan jalan utama persekutuan.

"Bantuan kecemasan 24 jam itu diadakan pada 6, 7, 10 dan 11 Ogos. Ia penting bagi membantu mangsa kemalangan mendapat rawatan kecemasan dengan segera," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Sebanyak 50 buah ambulans yang dilengkapi alat bantuan kecemasan akan ditempatkan di lokasi-lokasi berkenaan bagi membantu mangsa yang terbabit dalam kemalangan.

"Kami turut menempatkan pasukan di beberapa hospital supaya dapat bertindak segera sebaik saja pihak hospital menerima panggilan kecemasan," katanya.

Beliau berkata, PETRONAS Malaysia menyumbangkan RM20,000 untuk menampung kos minyak bagi kesemua 50 buah ambulans yang digunakan sepanjang musim perayaan manakala Genting Malaysia Berhad menyumbangkan beberapa peralatan perubatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment