My Add

Monday 5 August 2013

16 bahagian MCA rayu henti serang Soi Lek

 CHUA SOI LEK
KLANG, AHAD, 04 Ogos, 2013: Sebanyak 16 dari 26 Bahagian MCA negeri ini menyatakan sokongan terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan merayu para pemimpin dan ahli parti agar berhenti 'menyerang' serta menjadikan beliau 'kambing hitam' akibat kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua MCA Bahagian Klang, Datuk Teh Kim Poo yang mewakili kumpulan tersebut juga berharap penyokong Soi Lek tidak membalas serangan yang dibuat oleh para pemimpin dan ahli MCA terhadap Presiden parti itu.

"Kita juga berharap lapan bahagian MCA yang meminta Presiden meletak jawatan sebagai Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang tidak meneruskan 'serangan' dan desakan terhadap beliau.

"Presiden patut meneruskan jawatan secara kontrak itu sehingga tempohnya tamat kelak," katanya kepada pemberita di pejabat MCA Bahagian Klang, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua MCA Bahagian Kapar, Sepang, Kota Raja, Pandan, Hulu Selangor, Ampang, Sabak Bernam, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Petaling Jaya Selatan (PJS), Petaling Jaya Utara (PJU) dan Subang.

Kim Poo berkata, MCA telah cukup terkesan dengan kekalahan teruk calon-calon mereka dalam pilihan raya umum lalu dan kritikan negatif serta serangan terhadap kepimpinan parti secara langsung tidak menyelesaikan sebarang masalah.

"Ketika ini, MCA sedang mengadakan mesyuarat peringkat cawangan yang akan berakhir hari ini dan pada 22 September ini pemilihan akan diadakan di peringkat bahagian.

"Pemilihan peringkat Pusat pula akan diadakan pada 22 Disember ini. Sebagai sebuah parti demokratik siapa sahaja boleh memilih pemimpin yang mereka mahu," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh empat bulan ini, Soi Lek tidak perlu didesak meletak jawatan dan sekiranya pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli MCA tidak menyokong beliau, mereka boleh memilih kepimpinan baharu semasa pemilihan parti pada 22 Disember ini.

Beliau menambah, pemimpin dan ahli MCA yang mengkritik Soi Lek secara lantang sepatutnya mengenang jasa beliau yang menjadi satu-satunya Presiden yang memberi geran tahunan kepada semua bahagian untuk menjalankan pusat khidmat masyarakat mereka. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment