My Add

Sunday 4 August 2013

19,000 pelajar di Mesir selamat

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
 
 * MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan murid-murid Madrasah Thafiz Al-Fath, Parit Sawah pada Majlis Tadarus, Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa UMNO Bahagian Pagoh di Masjid Jamek Parit Medan, Bukit Serampang, Pagoh, semalam. - BERNAMA
PAGOH, SABTU, 03 Ogos, 2013: Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan akan memastikan kira-kira 19,000 penuntut Malaysia di Mesir tidak akan terperangkap dalam konflik di negara berkenaan yang masih berlanjutan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini duta Malaysia di negara bergolak itu sedang memantau perkembangan konflik berkenaan dan bersedia sepenuhnya terhadap sebarang kemungkinan jika keadaan bertambah buruk.

"Kita dimaklumkan kebanyakan pelajar berkenaan sedang menunggu masa untuk pulang dan kebetulan pula mereka baharu saja habis peperiksaan. (Keadaan pelajar Malaysia) diawasi duta kita di sana.

"Cabaran pertama kedutaan kita di sana adalah memastikan tidak ada pelajar kita yang terperangkap dalam kancah peperangan di Mesir," katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyampaian sumbangan kepada fakir miskin dan anak angkat Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Masjid Jamek Parit Medan, Bukit Serampang, dekat sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyertai majlis khatam al-Quran serta tahlil bersama kira-kira 300 penduduk tempatan selain menyaksikan majlis penyerahan van jenazah sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada masjid berkenaan.

Yang turut hadir, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tahir Taat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed serta ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Perkembangan di Mesir ketika ini menyaksikan penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi merancang tunjuk perasaan besar-besaran dalam masa terdekat sekali gus menimbulkan kebimbangan tercetusnya sekali lagi pertumpahan darah di negara tersebut.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, pihaknya dimaklumkan bekalan makanan untuk penuntut Malaysia ketika ini mencukupi dan mereka tidak akan berdepan masalah itu sekiranya ketegangan terus berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata, umat Islam di negara ini seharusnya bersyukur kerana hidup aman dan tenteram serta bebas daripada perang saudara walaupun masyarakat Malaysia berbilang kaum dan berbeza agama.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku bukan sahaja di Mesir tetapi di Syria dan nikmat menjalani ibadat berpuasa dalam keadaan selamat di negara ini adalah sesuatu yang perlu dihargai. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment