My Add

Saturday 10 August 2013

200 rumah musnah terbakar

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

* SEBAHAGIAN 200 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cenderamata, Batu Sapi, Sandakan, kelmarin.
SANDAKAN, JUMAAT, 09 Ogos, 2013: Seorang warga emas rentung manakala empat lagi termasuk seorang anggota bomba cedera dalam kejadian kebakaran di Kampung Cenderamata, Batu Sapi di sini semalam.

Tragedi yang berlaku kira-kira pukul 1 petang itu turut memusnahkan 200 rumah menyebabkan kira-kira 1,000 penghuninya yang sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri tinggal sehelai sepinggang.

Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Ordine Gilu berkata, mayat mangsa, Isnah Kuayah, 73, dijumpai rentung di kawasan rumahnya yang terbakar pada kira-kira pukul 5 petang.

"Seorang lelaki turut cedera akibat terkena renjatan elektrik, manakala dua lagi mangsa melecur dan mengalami sesak nafas kerana terhidu asap.

"Seorang anggota bomba yang menjalankan operasi menyelamat di kawasan perkampungan atas air itu juga cedera di bahagian kepala selepas tergelincir dan terjatuh," katanya di sini hari ini.

Menurut Ordine, seramai 15 anggota bersama tujuh jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 1.18 petang.

Beliau berkata, pihaknya yang turut mendapat bantuan daripada 15 anggota bomba sukarela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dapat mengawal kebakaran pada pukul 1.48 petang.

"Ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, api sudah merebak dan pihak bomba terpaksa membuat pintasan bagi mengelak lebih banyak rumah yang musnah," ujarnya.

Dalam pada itu, Ordine berkata, mayat Isnah telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk di bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut mendapat rawatan di hospital yang sama.

Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment