My Add

Monday 12 August 2013

20,000 lawat banduan di Penjara Pengkalan Chepa

KOTA BHARU, AHAD, 11 Ogos, 2013: Hampir 20,000 pelawat berpeluang bertemu banduan di penjara Pengkalan Chepa di sini dalam tempoh dua hari bermula semalam.

Timbalan Pengarah Penjara Kelantan, Wan Sani Ab. Latiff berkata, kesemua mereka adalah terdiri daripada keluarga terdekat iaitu ibu bapa dan anak-anak banduan.

"Peluang keluarga bertemu banduan sempena Hari Raya Aidilfitri ini dibuka selama dua hari bermula semalam dan berakhir pada hari ini. Waktunya adalah dari pukul 8.30 pagi hingga 6 petang.

"Keluarga masing-masing dibenarkan berkomunikasi dengan banduan selama 15 minit melalui sistem intercom," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata. selain merapatkan hubungan bersama keluarga, peluang tersebut sekurang-kurangnya mampu meredakan tekanan banduan selepas beberapa lama berpisah dengan mereka kerana menjalani hukuman di sini.

Wan Sani turut mengharapkan pertemuan di bulan mulia ini akan menjadi motivasi ke arah meningkatkan kesedaran banduan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa setelah dibebaskan nanti.

"Alhamdulillah, mereka (banduan) kelihatan begitu ceria apabila dapat bertemu keluarga masing-masing. Pihak penjara berharap kesalahan yang dilakukan ini adalah yang pertama dan terakhir buat mereka," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau memberitahu, majlis yang berlangsung selama dua hari itu berjalan lancar dan keadaannya terkawal walaupun pelawat mula memenuhi kawasan penjara sejak awal pagi lagi.

Tambahnya, pihak penjara berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan pelawat meskipun terpaksa menunggu sebelum dapat bertemu banduan terbabit.

"Kita hanya ada 15 sistem intercom, tapi kunjungan pelawat begitu ramai maka mereka perlu mengikut giliran. Bagaimanapun kita amat menghargai kesabaran mereka menunggu tanpa rungutan," jelasnya.

Menurut Wan Sani, sehingga hari ini penghuni penjara terbabit adalah seramai 1,400 orang termasuk wanita yang menjalani hukuman atas pelbagai kes kesalahan.

"Ia melibatkan banduan dari seluruh negara membabitkan pelbagai kes jenayah dan dadah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment