My Add

Tuesday 27 August 2013

264 titik panas di Riau, jerebu ganggu penerbangan

JAKARTA, SELASA,27 Ogos, 2013: Cuaca berjerebu yang diakibatkan oleh aktiviti pembakaran hutan dan tanah gambut, kembali menyelubungi Riau sehingga mengganggu perkhidmatan penerbangan di wilayah itu sejak dua hari lepas.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), pantauan satelit sehingga kini mengesan 264 titik panas di Riau dan peningkatan jumlah titik panas itu seiring dengan keadaan musim kemarau pada masa ini. Jumlah titik panas itu hampir sama dengan jumlah yang dicatat pada 24 Jun lepas iaitu sebanyak 265 titik.

Pusat Data, Maklumat dan Perhubungan Awam BNPB menyatakan bahawa sejumlah 88 titik panas dikesan di Jambi, 67 titik panas dikesan di Sumatera Selatan, manakala secara keseluruhannya ada 488 titik panas dikesan di Pulau Sumatera.

Lokasi titik panas itu ialah di kawasan tanah gambut dan asap tebal muncul dari kawasan-kawasan berkenaan.

"Kabut asap sangat tebal menutupi Kota Pekanbaru, sehingga mengganggu penerbangan pesawat dari dan ke Lapangan terbang Sultan Syarif Kasim II.

"Hanya ada satu penerbangan yang dapat mendarat di lapangan terbang itu dalam dua hari ini," kata BNPB.

Menurut badan itu, sebaran asap masih berkumpul di sekitar Riau dan pada masa ini ia belum memberi kesan kepada negara jiran Malaysia dan Singapura kerana arah tiupan angin bertumpu ke barat laut sehingga asap hanya tersebar di wilayah Riau.

Untuk menangani kebakaran hutan itu, BNPB sedang membantu Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Provinsi Riau untuk melakukan operasi pengeboman air, hujan buatan dan operasi pemadaman api dari darat.

"Hari ini telah dilakukan ’water bombing’ di Pelalawan dengan menggunakan sebuah helikopter Bolco dan sebuah helikopter Sikorsky yang mampu mengangkut 4,500 liter air sekali terbang.

"Oktober ialah kemuncak daripada pembakaran tanah gambut dan hutan di Sumatera dan 99 peratus punca kebakaran itu adalah kerana dibakar sama ada oleh individu ataupun oleh kumpulan.

"Penguatkuasaan undang-undang adalah kunci pengendalian pembakaran tanah gambut dan hutan. Kerajaan Tempatan, pegawai penguatkuasa Kementerian Kehutanan, pegawai penguatkuasa Kementerian Pertanian, pegawai penguatkuasa Kementerian Alam Selitar dan pihak polis hendaklah meningkatkan pengawalan pembakaran tanah gambut dan hutan itu. Jika tidak, jumlah titik panas akan semakin meningkat," kata BNPB. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment