My Add

Friday 9 August 2013

3 pasangan Islam bercerai setiap jam di Malaysia

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Ogos, 2013 Terdapat purata tiga kes penceraian bagi setiap jam dalam kalangan pasangan Muslim di negara ini.

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata, maklumat itu diperoleh daripada kajiannya terhadap statistik penceraian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2011.

Ini berikutan terdapat purata 70 kes penceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes dilaporkan sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara bagi tahun 2011.

"Statistik perceraian daripada Jakim dari tahun 1990 hingga 2010 sentiasa menunjukkkan peningkatan kes penceraian setiap tahun," katanya kepada Bernama.

Noor Aziah berkata, situasi itu berlaku kerana kebanyakan individu yang mendirikan rumah tangga didapati tidak memahami mahupun mengetahui akan falsafah sebenar sesebuah perkahwinan itu.

Justeru, beliau meminta masyarakat supaya melengkapkan diri dengan ilmu agama dan rumah tangga sebelum melangsungkan perkahwinan bagi mengurangkan kes perceraian sekali gus membentuk sebuah keluarga bahagia.

"Sebenarnya institusi keluarga itu adalah asas pembangunan sesebuah negara dan kalau institusi keluarga itu berjalan dengan baik maka negara pun akan jadi lebih baik," katanya.

Menyentuh mengenai belia pula, beliau meminta kerajaan memperbanyakkan penganjuran program keilmuan dan keagamaan kepada golongan belia di negara ini dalam usaha melahirkan belia berakhlak mulia, pada masa hadapan.

Noor Aziah berkata, berdasarkan dapatan hasil kajiannya, mendapati gejala sosial seperti seks bebas, penyalahgunaan dadah dan minum arak dalam kalangan belia Islam kini, berada pada tahap membimbangkan.

"Antara beberapa kaji selidik yang saya lakukan adalah Kajian Belia Bermasalah di Malaysia 2009, Kajian Belia, Dadah dan HIV:Punca dan Hak pada tahun 2010, dan Kajian Pembinaan Modul Ta’dib di Sekolah Henry Gurney, Melaka 2011.

"Hasil kajian ini membuatkan saya risau akan akhlak golongan belia pada masa ini yang mana bagi pandangan saya berpunca daripada tidak menghayati ilmu agama sepenuhnya walaupun ada pendidikan agama tetapi tidak mengamalkan ilmu agama yang ada itu. Kebanyakan responden menjawab tidak tahu sembahyang atau sudah lupa macam mana hendak sembahyang sewaktu ditemu bual," katanya.

Beliau yang juga pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata penularan gejala tidak sihat itu bakal memberi impak negatif kepada pembangunan modal insan negara ini sekiranya tidak ditangani segera.

"Dari kajian yang saya buat, saya dapati kanak-kanak pun mula mencuba seks semuda 12 tahun dan saya juga mendapati semasa saya membuat kajian ’Hak Anak Tak Sah Taraf di Malaysia’ pada 2007, mendapati ibu paling muda mengandung yang saya temu bual ialah 13 tahun.

"Macam mana negara ini hendak melahirkan seorang pemimpin yang berkaliber dan mempunyai personaliti terhormat pada masa depan sekiranya belia kini tidak mempunyai akhlak sepatutnya dikehendaki dalam Islam," katanya.

Apabila ditanya pendekatan kreatif yang boleh dilaksanakan bagi menarik minat belia terhadap program itu, Noor Aziah berkata, ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara antaranya mencari ’role model’ dari kalangan belia yang berjaya dalam bidang tertentu seperti johan Tilawah al-Quran, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, jaguh sukan dan artis.

Noor Aziah juga berkata, kira-kira 80 peratus golongan belia bermasalah datang daripada keluarga ibu tidak bekerja atau suri rumah sepenuh masa.

Beliau yang juga anggota Majlis Penyelaras bagi Perlindungan Kanak-kanak Malaysia itu berkata angka itu didapati menerusi Kajian Belia Bermasalah di Malaysia 2009 yang melibatkan responden berumur 15 tahun hingga 40 tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata, peranan institusi kekeluargaan juga penting untuk memartabatkan pembangunan sahsiah diri golongan belia negara.

"Di sini peranan ibu bapa penting memberi pendidikan agama sepenuhnya kepada anak-anak. Pada pemerhatian saya kebanyakan anak-anak hanya dapat ilmu agama daripada guru agama dan apabila bersama ibu bapa mereka tidak belajar.

"Oleh demikian, saya menyarankan supaya kita semua kembali kepada perkara asas iaitu didikan agama dan memperbaiki mutu keluarga yang sedia ada dan yang akan dibina," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment