My Add

Saturday 10 August 2013

3 termasuk pegawai tentera maut

Oleh HELMI MOHD. FOAD

 * ANGGOTA polis trafik dan orang ramai mengangkat mayat Zul Fazaiin (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 63, Jalan Teluk Intan- Klang berhampiran Pasir Panjang, Sabak Bernam, Selangor, semalam.
SHAH ALAM, JUMAAT, 0 9 Ogos, 2013: Kegembiraan tiga keluarga menyambut Aidilfitri berakhir dengan kesedihan apabila tiga termasuk seorang pegawai tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 63, Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Pasir Panjang, Sabak Bernam dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira 4.30 petang itu, Leftenan Kolonel Ajman Bakar, 54, dan Muhamad Zul Fazalin Baharudin, 34, maut di tempat kejadian manakala seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Sofia, 24, meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Tanjong Karang dekat sini.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang turut menaiki kereta Proton Iswara dipandu Muhamad Zul Fazalin turut cedera parah tetapi dilaporkan stabil dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Muhamad Zul Fazalin dari arah Sungai Besar menghala ke Klang terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis Nissan Hyper CVT.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan kereta Nissan Hyper CVT tersebut berpusing lalu dan dilanggar oleh kereta Kia Forte dinaiki Ajman yang tidak sempat mengelak daripada merempuh kenderaan tersebut.

"Difahamkan, Ajman baharu sahaja pulang ke Malaysia dua hari lalu dari Turki untuk menyambut Syawal dan menguruskan persiapan perkahwinan anaknya pada bulan depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, Muhamad Zul Fazalin yang menaiki kereta bersama Sofia mengalami kecederaan di seluruh badan, manakala mangsa yang berada dalam kereta Kia Forte mengalami kecederaan di kepala.

Bagaimanapun, katanya, pemandu dan lima penumpang dalam kereta Nissan Hyper CVT serta dua lagi penumpang menaiki kenderaan bersama Ajman hanya mengalami cedera ringan.

Katanya, siasatan awal percaya kemalangan mungkin berpunca akibat pemandu kereta Proton Iswara berkenaan mengantuk atau cuba mengelak sesuatu ketika melalui tempat kejadian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan berkenaan supaya berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama ketika ramai umat Islam keluar berhari raya.

Katanya, seramai 10 anggota polis trafik ditempatkan di laluan antara kilometer 34 hingga 72, Jalan Teluk Intan-Klang sepanjang Op Selamat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment