My Add

Monday 5 August 2013

377 kes diambil tindakan

Oleh Haniza Hassan
 
* HASAN Malek (dua dari kiri) memeriksa penimbang bagasi sambil disaksikan oleh Tee Siew Kiong (kanan) dalam majlis Pelancaran Penempatan Alat Timbang Untuk Kegunaan Awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU, AHAD, 04 Ogos, 2013: Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 yang dilancarkan 26 Julai lalu berjaya mengesan sebanyak 377 kes melibatkan nilai rampasan sebanyak RM41,783.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, daripada jumlah itu sebanyak tiga kes melibatkan kesalahan meletakkan harga melebihi harga siling ditetapkan manakala bakinya kesalahan tiada tanda harga merah jambu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu juga sebanyak 368 kes dikesan dilakukan pekedai runcit manakala bakinya dikesan di pasar borong.

"Kita akan terus menjalankan operasi dan pemantauan sepanjang tempoh skim kawalan harga sehingga 11 Ogos ini dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis Pelancaran Penempatan Alat Timbang untuk Kegunaan Awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Beliau mengulas perkembangan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 yang berkuat kuasa bermula 26 Julai lalu sehingga 11 Ogos ini bertujuan mengekang penyelewengan harga sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Dalam pada itu, menurut Hasan, pihaknya memberi jaminan barangan keperluan sempena Hari Raya Aidilfitri mencukupi dan menasihatkan pengguna tidak membuat pembelian panik.

"Melalui laporan pihak terbabit termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, setakat ini kita memberi jaminan semua keperluan makanan sempena perayaan ini mencukupi, jadi orang ramai tidak perlu khuatir," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment