My Add

Monday 5 August 2013

4 lagi mayat mangsa bot karam ditemui

JOHOR BAHRU, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) mangsa bot karam di perairan Kota Tinggi berjaya menemui empat lagi mayat lelaki pada petang semalam dan hari ini.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Amran Daud berkata, satu mayat ditemui di kedudukan 2.3 batu nautika timur Tanjung Lompat pada kira-kira 6.30 petang semalam manakala tiga lagi di Tanjung Siang dan Sedili Besar pada 1.35 petang dan 2.50 petang hari ini.

"Mayat ketiga-tiga mangsa hari ini ditemui dalam keadaan terapung dan mereput oleh pasukan carilamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang memasuki hari keempat operasi," katanya menerusi satu kenyataan.

Amran berkata, kesemua mayat dibawa ke Jeti APMM Daerah Maritim Tanjung Sedili dan diserah kepada polis.

Beliau berkata, pasukan carilamat laut dan udara yang meneruskan operasi hari ini mengalami sedikit kesukaran kerana keadaan laut bergelora serta hujan lebat, bagaimanapun, usaha tetap diteruskan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Katanya, APMM Daerah Maritim Tanjung Sedili sudah menyerahkan empat mangsa yang terselamat kepada kedutaan Indonesia untuk proses penghantaran pulang.

Dalam pada itu, Amran berkata, operasi bersepadu mencari dan menyelamat mangsa lain akan dihentikan lewat petang ini.

"Maritime Rescue Sub Centre Johor Bahru mengambil pendekatan berikut setelah menilai dari pelbagai aspek, termasuk pemantauan oleh unit udara yang mendapati tiada petunjuk baharu untuk baki mangsa bot karam itu dapat dijumpai dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata, pasukan carilamat melibatkan 130 pegawai dan anggota pelbagai agensi menggerakkan aset laut dan udara sejak Jumaat lepas meliputi keluasan 2,978 kilometer persegi namun gagal menemui mangsa yang masih hidup.

Bagaimanapun, APMM akan tetap menugaskan aset melakukan rondaan rutin di perairan itu dan akan menggerakkan anggota ke lokasi yang dilapor jika terdapat petunjuk baharu.

Sehingga 5 petang ini, empat mangsa terselamat, tujuh maut manakala 33 lagi masih hilang, katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam Khamis lepas itu, bot pancung yang membawa 44 warga Indonesia dari satu lokasi di Tanjung Sedili ke Batam, Indonesia karam dipukul ombak besar dan terbalik di kedudukan 12.7 batu nautika Timur Tanjung Siang, Kota Tinggi.

Empat mangsa terselamat setelah mereka berpaut pada tong kosong sebelum diselamatkan APMM dan nelayan tempatan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment