My Add

Thursday 22 August 2013

5 pelajar melecur, gas meletup

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

 *MOHAMAD Hasan melihat keadaan Nurliyana Razali, seorang daripada lima pelajar yang melecur apabila gas dapur mudah alih meletup ketika Hari Kantin SMK Puteri ketika melawat mereka di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, semalam.
SEREMBAN, RABU, 21 Ogos, 2013: Kegembiraan sekumpulan pelajar untuk memasak sempena Hari Kantin Sekolah pagi ini bertukar tragedi selepas gas dapur mudah alih yang digunakan tiba-tiba meletup menyebabkan lima daripada mereka melecur di muka dan tangan.

Kejadian pada pukul 9.40 pagi itu berlaku ketika kesemua mangsa hendak menyalakan dapur tersebut sebelum tiba-tiba meletup dan apinya menyambar mereka.

Kesemua mereka yang merupakan pelajar perempuan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri di sini terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mangsa yang cedera ialah Nurliyana Razali; Nurul Syahirah Aziz, Ira Nur Farisha Mohd. Latif, Aida Marini Zulkiefly dan Nur Yasmin Maisara Muhammad Yazid yang kesemuanya berusia 16 tahun.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Johari Ahmad berkata, pihaknya yang menerima panggilan berhubung kejadian itu telah menghantar dua buah jentera bersama 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dan Seremban 2 serta pasukan forensik.

Katanya, ketika pihaknya tiba di lokasi, api telah dipadamkan manakala pelajar berkenaan telah dikejarkan ke HTJ dengan ambulans oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Siasatan akan dijalankan terhadap dapur itu serta punca berlakunya letupan. Saya difahamkan dapur berkenaan mudah meletup jika balang gas yang dipakai tidak disambung dengan betul kepada alat memasak berkenaan.

"Pasukan forensik akan membuat pemeriksaan untuk mengetahui punca letupan berkenaan," tegasnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut meluangkan masa untuk melawat mangsa di wad HTJ petang ini mahu Jabatan Pelajaran negeri memberi laporan penuh termasuk punca kejadian berkenaan.

"Saya mahukan laporan itu segera. Semua sekolah yang mempunyai makmal atau menggunakan peralatan memasak yang ada hubungkait dengan aktiviti seumpama itu, hendaklah memeriksa peralatan mereka setiap masa kerana aspek keselamatan pelajar harus diberi keutamaan.

"Periksa kesempurnaan dan jangan biarkan begitu sahaja, keadaannya hendaklah baik dan mesti ada penyelenggaraan. Kita tidak boleh beranggapan semua peralatan itu adalah selamat dan tidak perlu diperiksa. Kealpaan inilah yang menjadi punca berlakunya perkara yang tidak diingini," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran negeri, Kalsom Khalid berkata, beliau telah mengarahkan semua aktiviti berkaitan memasak di sekolah itu dihentikan serta-merta.

"Kita minta semua pelajar hanya menjalankan aktiviti yang tiada kaitan dengan masak-memasak dan semua guru akan memantau sehingga program ini selesai pada hari ini.

"Saya mahu laporan penuh kejadian ini daripada pihak sekolah serta mendapatkan juga laporan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, selain pihak polis sebelum sebarang tindakan diambil," tegasnya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Pada masa yang sama Kalsom memberitahu, jabatannya akan mengkaji semula penggunaan dapur gas mudah alih itu dalam semua aktiviti pelajar di negeri ini.

"Saya akan adakan mesyuarat dengan semua guru besar dalam waktu terdekat untuk mendapatkan pandangan mereka. Saya rasa lebih baik pelajar menjalankan aktiviti menjual makanan yang sudah sedia dimasak daripada dibenarkan memasak," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment