My Add

Wednesday 7 August 2013

65% pemandu tidak utamakan keselamatan

KANGAR, SELASA, 06 Ogos, 2013: Kajian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati 65 peratus daripada pemandu kereta dan penunggang motosikal di Malaysia masih tiada lesen memandu, tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Pengarahnya (Perancangan dan Operasi), Datuk Yusoff Ayob berkata, ini menunjukkan sikap pemandu dan penunggang di negara ini yang masih tidak serius terhadap perkara pokok yang perlu diberi keutamaan sebelum berada di jalan raya.

''Jika ini diabaikan bererti pemandu dan penunggang bukan saja tidak mengutamakan keselamatan diri sendiri, malah turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain,'' katanya dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan ke tapak Operasi JPJ Sempena Hari Raya Aidilfitri di Kilometer 18, Jalan Kangar-Alor Setar di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah JPJ negeri, Zulhasmi Mohamad.

Yusoff berkata, pada musim perayaan kali ini, JPJ hanya meletakkan pegawai penguatkuasanya di jalan-jalan yang telah dikenal pasti kerap kemalangan.

''Fokus kita sebenarnya hanya untuk mengurangkan kemalangan dan memastikan lalu-lintas terkawal,'' katanya.

Katanya, kehadiran pegawai penguat kuasa itu adalah untuk menimbulkan rasa gerun dalam kalangan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya.

Yusoff berkata, ini bertepatan dengan hasil kajian yang mendapati lebih 70 peratus daripada pengguna jalan raya masih memandu tidak mengikut peraturan kerana mementingkan diri sendiri.

''Jika sikap ini masih tidak dibuang, tahap pemanduan pengguna di jalan raya di negara ini tidak akan berubah walaupun dalam tempoh 10 tahun lagi,'' katanya.

Beliau berkata, ada baiknya jika semua pengguna jalan raya mengamalkan sikap toleransi, kadar kemalangan jalan raya di musim perayaan akan dapat dikurangkan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment