My Add

Wednesday 21 August 2013

700 pawagam tayang promo merdeka, lagu Negaraku

PUTRAJAYA, RABU, 21 Ogos, 2013: Lebih 700 pawagam di seluruh negara akan menayangkan promo kemerdekaandan memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan sesuatu filem sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 negara bermula 28 Ogos hingga 3 Sept ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, lima pengusaha pawagam iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) yang mempunyai 238 pawagam), MBO Cinemas (185), TGV Cinemas (170), Lotus Five Star (100) dan Cathay Cineplexs (30) telah bersetuju untuk menayangkan promo dan lagu Negaraku yang akan mengambil masa kira-kira lima hingga enam minit.

Beliau berkata, dua promo kemerdekaan bertajuk 'Pesanan Terakhir'selama satu minit 30 saat dan ’Tanah Tumpahnya Darahku’ (dua minit dan 30 saat) merupakan terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Saya berharap semua penonton akan berdiri untuk memberi penghormatan ketika lagu Negaraku dimainkan.

"Pengorbanan pasukan keselamatan negara sangat besar ertinya. Berdiri ketika lagu Negaraku kira-kira dua minit merupakan satu pengorbanan yang terlalu kecil bagi mengingati dan menghargai wira-wira negara yang korban ketika mempertahankan kedaulatan negara," katanya kepada pemberita selepas berjumpa dengan pengusaha-pengusaha pawagam di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata, kementerian akan menyediakan satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci untuk semua pengusaha pawagam untuk menayangkan promo dan memainkan lagu Negaraku.

"SOP itu dijangka siap dalam dua hari lagi," katanya sambil menambah SOP itu termasuk tempoh tayangan promo, mencerahkan lampu pawagam dan memastikan penonton berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan.

Ahmad Shabery berkata, pengusaha pawagam perlu mencari inisiatif untuk memastikan penonton berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan.

Beliau berkata, Thailand dan India masih meneruskan tradisi dengan memainkan lagu kebangsaan di kawasan-kawasan awam dan pawagam setiap hari.

"Ini bukan satu perkara luar biasa di Malaysia. Ia sememangnya tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk berdiri bagi menghormati lagu Negaraku.

"Kita akan lihat reaksi penonton sepanjang tayangan ini dan mengkaji sama ada ia harus diteruskan sepanjang tahun," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment