My Add

Saturday 10 August 2013

9 mati selepas sembahyang raya

 *SEORANG budak lelaki yang cedera dibantu untuk dibawa ke hospital di Quetta, Pakistan semalam selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah jemaah yang baru selesai menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri.
QUETTA, JUMAAT, 09 Ogos, 2013:Empat lelaki bersenjata membunuh sembilan orang semalam apabila mereka melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang meninggalkan sebuah masjid selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di barat daya Pakistan, kata polis.

Serangan di luar masjid pengikut Sunnah di pinggir bandar Quetta, wilayah Baluchistan berlaku sehari selepas seorang pengebom berani mati membunuh 38 orang ketika pengebumian seorang anggota polis di sini.

Ini merupakan kes pertumpahan darah pertama pada bulan Syawal sejak berakhir Ramadan yang menyaksikan sekurang-kurangnya 11 serangan dilancarkan.

Serangan pada Ramadan mengorbankan 120 orang di Pakistan pada tahun ini.

"Empat orang melepaskan tembakan, membunuh sembilan orang dan mencederakan sepuluh yang lain," kata pegawai kanan polis Quetta, Bashir Ahmad Brohi kepada agensi berita AFP.

Empat mangsa mati di tempat kejadian manakala lima yang lain meninggal dunia di hospital.

Bashir berkata, bekas menteri wilayah daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP), Ali Madad Jatak turut berada di dalam masjid itu dan mungkin menjadi sasaran penembak.

"Tetapi, kami tidak pasti buat masa sekarang dan masih melakukan siasatan," katanya yang menambah Ali tidak cedera walaupun peluru mengenai keretanya.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

Quetta menjadi tumpuan peningkatan keganasan mazhab, kebanyakannya mensasarkan minoriti pengikut Syiah yang membentuk kira-kira satu per lima daripada penduduk Pakistan yang rata-rata pengikut Sunnah. - AFP/KOSMO! 

No comments:

Post a Comment