My Add

Wednesday 7 August 2013

Abdul Ghani tidak gelap mata

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

MUAR, SELASA, 06 Ogos, 2013: Rasa sayang terhadap bangsa dan generasi muda serta mentaati perintah agama mendorong Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Asisten Supritendan Abdul Ghani Talib, untuk tidak menerima tawaran rasuah RM500,000 yang bertujuan menutup sindiket pengedaran dadah terbesar di daerah ini.

Abdul Ghani, 43, yang sedar kesannya terhadap masyarakat jika menerima tawaran itu, tidak pernah menyesal menolaknya walaupun berkali-kali dipujuk suspek yang menjanjikan wang sebanyak itu akan diserahkan dalam masa beberapa jam sahaja.

''Saya katakan kepada suspek, walau berapa juta ringgit sekalipun bayaran yang sanggup diberikan untuk melepaskannya, saya tidak akan terima. Pada masa itu suspek seakan sudah 'memancing' saya dengan menelefon seseorang untuk menghantar duit itu segera.

''Saya bersyukur kerana tidak gelap mata dengan tawaran itu, apa yang saya ingat hanya Allah. Lagipun mengambil rasuah adalah kesalahan besar dan saya bertanggungjawab dengan rakyat. Jika saya ambil wang itu, saya membuka jalan untuk menjahanamkan bangsa dan negara,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Salleh, 12 April lalu, sepasukan anggota polis yang diketuai oleh pegawai terbabit telah menemukan sebanyak 21 kilogram dadah jenis heroin yang dipercayai milik suspek berusia 49 tahun itu.

Berikutan penemuan awal itu, suspek telah menawarkan wang tunai sebanyak RM300,000 tetapi Abdul Ghani tidak melayannya.

Serbuan susulan di sebuah lagi rumah milik suspek di Taman Putera Indah, kemudian menemukan pula hasil kekayaan yang dikumpul seperti kereta mewah dan barangan lain dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM1.3 juta.

Terdesak untuk melindungi harta dan melepaskan diri, suspek membuat tawaran kali kedua dan jumlahnya dinaikkan kepada RM500,000, namun wang tersebut gagal mengugat kejujuran Abdul Ghani.

Suspek kemudian ditahan dan direman di Penjara Sungai Udang, Melaka untuk disiasat oleh mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.

Abdul Ghani yang mengetuai operasi itu bersama 11 anggota berkata, faktor lain membuatkannya menolak tawaran itu kerana serbuan pada hari tersebut merupakan kejayaan besar bagi IPD Muar selepas beberapa bulan menjalankan risikan dengan memperoleh 21 kilogram heroin.

Abdul Ghani menceritakan, pada mulanya beliau bersetuju menerima wang tersebut untuk memerangkap suspek bagi membolehkan pihaknya membongkar rumah atau stor dadah lain milik sindiket itu tetapi menukar fikiran kerana suspek begitu berbahaya.

"Semasa melakukan serbuan kami amat berhati-hati dan lengkap dengan baju kalis peluru. Ini sebagai persediaan kerana risiko mereka bersenjata," kata bapa kepada lima anak itu yang sudah 17 tahun berkhidmat dengan polis sejak 1996.

Beliau yang merupakan adik kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal memberi pesanan kepada kakitangan awam supaya tidak sekali-kali mengambil rasuah kerana perbuatan itu akan merosakkan bangsa dan negara.

Apatah lagi katanya lagi, perbuatan tersebut diharamkan dalam Islam kerana membawa kepada kemudaratan besar kepada masyarakat selain sumber itu adalah jelas tidak halal. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment