My Add

Tuesday 13 August 2013

Ahli UMNO tunai haji masih layak bertanding

ALOR GAJAH, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Ahli-ahli UMNO yang menunaikan haji pada tahun ini namun berhasrat untuk bertanding pada pemilihan parti Oktober ini masih layak untuk berbuat demikian.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, mereka yang berminat untuk bertanding di mana-mana peringkat atas kelayakan sebagai ahli UMNO boleh berbuat demikian dengan melantik wakil.

"Mereka boleh melantik wakil dengan memberikan surat kuasa atau surat wakil kepada pihak pengurusan parti atas sebab untuk mengerjakan haji," katanya dalam sidang akhbar pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini hari ini.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Idris Harun.

Menurut Ab. Rauf, ibadah haji tidak mengganggu pemilihan parti kerana jumlah mereka yang mengerjakannya dengan yang terlibat dalam pemilihan adalah tidak signifikan.

"Jika ada yang pergi haji, dia boleh menghadiri mesyuarat cawangan dan jika mereka pulang awal dari haji maka dia boleh menghadiri mesyuarat bahagian," ujarnya.

Sementara itu katanya, hampir 30 peratus daripada lebih 20,800 cawangan UMNO seluruh negara telah selesai bermesyuarat.

"Kesemua mesyuarat cawangan yang telah dilaksanakan itu berjalan lancar dan beberapa masalah yang timbul termasuk berkaitan peraturan mesyuarat telah diselesaikan Badan Perhubungan UMNO negeri masing-masing dengan baik," jelasnya.

Ketika ditanya adakah beliau mahu bertanding bagi merebut jawatan Ketua UMNO Masjid Tanah, Ab. Rauf berkata, beliau masih belum bersedia untuk mengulas mengenai perkata itu.

"Saya akan buat pengumuman bila tiba waktunya nanti," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment