My Add

Thursday 8 August 2013

Aidilfitri: Kuala Lumpur lengang

Oleh NORHIDAYU MOHD HASSAN

 * ABDUL Rahman Dahlan meninjau Lebuhraya Utara-Selatan dari udara dengan helikopter Unit Udara Bomba dan Penyelamat, Subang Jaya, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 07 Ogos, 2013: Kira-kira 8.4 juta kenderaan dilaporkan keluar dari ibu negara sejak Jumaat lalu, apabila warga kota masing-masing pulang ke kampung halaman untuk bercuti dan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri esok.

Menurut jurucakap PLUS Expressway Berhad, terdapat kira-kira 1.4 juta kenderaan dicatatkan keluar dari ibu negara pada setiap hari dalam tempoh enam hari lalu.

"Sejak Jumaat lalu, aliran trafik di lebuh raya utama meningkat secara mendadak iaitu mencatatkan jumlah kenderaan keluar dari ibu negara kira-kira 1.4 juta dalam sehari.

"Ini menyebabkan keadaan di plaza tol di sekitar ibu kota mulai sibuk apabila beribu-ribu pemandu berbaris panjang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Utusan Malaysia yang berkesempatan meninjau keadaan lalu lintas melalui udara dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mendapati, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menghala ke arah utara dan selatan bergerak lancar.

Menurut Abdul Rahman, beliau mendapat laporan awal mengatakan perjalanan lalu lintas dijangka bergerak lancar dan tinjauan keadaan melalui udara mengesahkan keadaan yang sama.

"Walaupun lalu lintas di lebuh raya utama bergerak lancar tetapi kita masih bimbang apabila berlaku peningkatan jumlah kemalangan dan kematian sejak 'Ops Raya Bomba' dimulakan.

"Jika tempoh yang sama tahun lalu, jumlah kemalangan lima hari ops dijalankan hanya mencatat 64 kemalangan namun tahun ini sudah merekodkan 65 kes dengan jumlah kematian dua kali ganda iaitu meragut 23 nyawa berbanding hanya 11 kematian tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mengadakan tinjauan 'Ops Raya Bomba' di Unit Udara Bomba, Subang Jaya dekat sini.

Yang turut hadir Ketua Cawangan Pusat Pengurusan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Pauzan Ahmad.

Abdul Rahman turut meminta semua pengguna jalan raya agar lebih prihatin dan berhati-hati ketika memandu pulang ke destinasi yang dituju.

"Biar lambat asalkan selamat dan fikirkan kesan pada diri sendiri serta keluarga yang kemungkinan harus menjaga kita sepanjang hayat akibat sikap memandu tidak berhemah di jalan raya," ujarnya.

Beliau berkata, 16 pusat operasi bomba di sepanjang lebuh raya PLUS yang beroperasi 24 jam sentiasa bersiap sedia menghadapi menghadapi cabaran dan kemungkinan berlaku dalam tempoh berlangsungnya 'Ops Raya Bomba' sehingga 18 Ogos ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment